Pencuri ditangkap ketika tertidur, mabuk dalam rumah yang dipecah masuk - Utusan Malaysia

Pencuri ditangkap ketika tertidur, mabuk dalam rumah yang dipecah masuk

SIN Kong Men menunjukkan ruang tengah rumahnya di mana suspek ditemui tertidur dan terbaring dalam kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang warga emas terkejut apabila lelaki yang tidur di tengah rumah yang disangka rakan anaknya rupa-rupanya pencuri yang sedang mabuk.

Kejadian berlaku di Taman Tanjung, Bahau, di sini, kira-kira pukul 6.15 pagi semalam.

Sin Kong Men, 66, berkata, ketika kejadian dia seperti biasa bangun dari tidur dan mahu keluar bersarapan di sebuah kedai yang terletak berhampiran dengan rumahnya itu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui bahagian tengah rumah, dia terkejut apabila terdapat seorang lelaki yang sedang terbaring dan seekor anjing berwarna hitam yang sedang menarik bahagian lengan baju lelaki itu.

“Saya sangkakan, rakan anak saya, tapi apabila lihat keadaan ruang tamu yang bersepah dan terdapat sebuah beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet komputer berada bersama lelaki berkenaan. 

“Minuman keras dan tablet komputer itu merupakan barangan di rumah ini, saya syak lelaki ini telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet berkaca sehingga mabuk dan tertidur. 

“Saya dan anak-anak cuba mengejutkan lelaki ini, namun tidak juga sedar. Tidak lama kemudian polis sampai dan polis juga mengambil masa hampir 30 minit untuk mengejutkan lelaki tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tanjung, Bahau, di sini, hari ini.

Ujar Kong Men lagi, ketika kejadian terdapat lebih 10 orang di dalam rumah tersebut termasuk anak-anaknya yang pulang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, suspek berusia 41 tahun dipercayai telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci. 

“Semasa masuk ke dalam rumah suspek dipercayai telah minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur. Semasa pengadu bangun tidur awal pagi, pengadu dapati suspek berbaring di dalam rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

“Suspek telah ditangkap dan mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan selebihnya jenayah. Suspek juga merupakan individu dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.

Menurutnya lagi, suspek, kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.