MELAKA: Seorang lelaki berusia 46 tahun yang merupakan penganggur ditahan polis ketika sedang cuba melakukan pecah rumah di sebuah taman perumahan di Ayer Keroh, pada awal pagi Hari Raya Aidilfitri lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat kira-kira pukul 2 pagi pada 21 Mac lalu.
“Suspek ditahan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan risikan di kawasan tersebut. Tangkapan dibuat di tepi jalan, tidak jauh dari rumah mangsa yang menjadi sasaran.
“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan berlaku antara 16 Januari hingga 21 Mac tahun ini di sekitar Melaka Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek dipercayai bergerak secara solo dan aktif melakukan kegiatan pecah rumah sejak Januari lalu.
Suspek menyasarkan kediaman tidak berpenghuni khususnya di kawasan berpagar dan berpengawal keselamatan. – UTUSAN










