Pulau Pinang: Tiada kes pecah rumah direkodkan sepanjang Op Selamat

Pulau Pinang: Tiada kes pecah rumah direkodkan sepanjang Op Selamat

AZIZEE ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tiada sebarang kes pecah rumah direkodkan di Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Op Selamat 2026 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, situasi itu sekali gus mencerminkan tahap keselamatan yang terkawal di negeri ini khususnya sepanjang tempoh operasi tersebut diadakan iaitu antara 19 hingga 24 Mac lalu.

“Dalam hal ini, pendekatan proaktif yang digerakkan oleh pasukan polis berjaya memastikan kediaman yang ditinggalkan semasa musim perayaan sebelum ini berada dalam keadaan yang selamat,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azizee berkata, sepanjang tempoh operasi juga, sebanyak 474 laporan balik kampung telah diterima oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta borang fizikal yang dihantar ke balai polis.

Katanya, laporan balik kampung itu secara tidak langsung turut memudahkan pihak polis merancang penugasan rondaan secara lebih sistematik melibatkan Mobile Patrol Vehicle (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Secara keseluruhannya, sebanyak 13,953 rondaan telah dilaksanakan sepanjang tempoh operasi dengan mengambil kira lokasi kediaman yang ditinggalkan serta analisis jenayah lampau.

“Sepanjang operasi yang sama, penguatkuasaan trafik turut dipertingkatkan apabila sebanyak 10,681 saman iaitu meningkat sebanyak  2,303 kes berbanding tahun lepas.

“Tindakan yang diambil ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa terutamanya polis bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dalam memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, kadar kemalangan maut pula kekal terkawal apabila hanya empat kes direkodkan sepanjang operasi dan daripada jumlah itu, hanya satu kes sahaja yang berlaku dalam kawasan ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN