Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Penjana RM246,400 - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Penjana RM246,400

S. ANBHUKANESAN didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM246,400.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat membekalkan tenaga kerja dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini bagi sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM246,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, S. Anbhukanesan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia telah menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja bagi menuntut insentif  Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 Perkeso dengan niat hendak memperdayakan Perkeso yang mengandungi pernyataan palsu melibatkan 48 pekerja sedangkan bukan pekerja syarikat itu.

Tuntutan itu dibuat menerusi tiga syarikat miliknya, iaitu Sapphire Management, Mega Brother Management dan Bluee Sapphire Sdn. Bhd.,0 melibatkan tuntutan keseluruhan berjumlah RM246,400.

Tertuduh didakwa sedar kesemua penama dalam permohonan Insentif Pengambilan Pekerja bukan pekerja di syarikat miliknya dengan niat untuk mengelirukan pihak Perkeso di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, Johor Bahru antara 13 Mei hingga 24 Disember 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor Bahru pada awal bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Walau bagaimanapun, Amarpreet Singh dalam rayuannya memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan jaminan rendah, iaitu RM20,000.

Jelasnya, anak guamnya menanggung isteri serta dua orang anak yang berusia setahun dan dua tahun selain menanggung ibu bapanya yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan angin ahmar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan dan menetapkan 26 Februari ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.