PETALING JAYA: Sekumpulan pelajar yang menginap di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendakwa, masalah kemudahan asas terutama gangguan bekalan air yang kerap menjejaskan tumpuan mereka terhadap pembelajaran.
Mereka mendakwa, sudah dua minggu mereka berdepan masalah bekalan air dan ia bukan pertama kali berlaku.
Seorang pelajar yang dikenali sebagai Nashrul, 24, berkata, gangguan bekalan air yang berlaku sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan pelajar perlu menadah air dari lori tangki yang datang ke asrama mereka.
“Kami terpaksa berulang-alik lebih kurang 200 meter untuk dapatkan air, malah, lebih teruk lagi kolej kediaman ini terletak di hujung bangunan kediaman kampus.
“Walaupun ada lori tangki air yang menghantar bekalan air terawat, tetapi tidak mencukupi dan air minuman pula cuma diberikan dua botol air mineral 1.5 liter sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, pelajar juga terpaksa berbelanja lebih untuk ke Kota Kinabalu semata-mata untuk mencuci pakaian dan menggunakan tandas dengan selesa.
Sementara itu, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Mussyah Halidan, 24, berkata, kemudahan wifi di Inapan Siswa (Inasis) Proton yang didiaminya sering bermasalah sehingga dia terpaksa membeli data talian sendiri.
“Ada waktu ia sangat perlahan hingga tidak dapat akses langsung,’’ katanya.
Katanya lagi, perkhidmatan WiFi termasuk dalam yuran dan tidak sepatutnya pelajar perlu mengeluarkan duit tambahan untuk mendapatkan capaian internet yang baik. – UTUSAN










