Lembaga Pengarah UiTM digantung, pengerusi bertukar

Lembaga Pengarah UiTM digantung, pengerusi bertukar

UiTM
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (LPU UiTM) digantung daripada bersidang selepas Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah menerima surat tamat tempoh perkhidmatan ber­­kuat kuasa 11 Februari ini.

Bekas Naib Canselor UiTM itu sepatutnya memegang jawatan tersebut selama tiga tahun sehingga Januari tahun depan, namun lebih awal me­nerima surat penamatan pa­da 10 Januari lalu dan diberi tem­poh 30 hari untuk mengosongkan pejabat.

Sumber pejabat Pengerusi LPU UiTM ketika dihubungi mengesahkan Ibrahim Shah akan ditamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi pada 10 Februari ini atas alasan penamatan lantikan politik, walaupun tempohnya berbaki setahun lagi.

Selain beliau, dua lagi anggota lembaga yang ditamatkan perkhidmatan adalah Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkuatkuasa pada 1 Februari, selepas memegang jawatan itu sejak Julai 2020 dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu, Datin Norashekin Yusof.

“Selain beliau ada dua lagi didakwa sebagai lantikan politik juga ditamatkan perkhidmatan,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama ditukar pengurusan tertingginya apabila Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah dipendekkan tempoh perkhidmatan dan tamat pada 18 Januari lalu.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pengajian Tinggi memberitahu, perubahan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM itu dibuat selepas Kabinet pada Disember lalu mengarahkan supaya lantikan politik ditamatkan termasuk dalam sektor syarikat milik kerajaan (GLC).

“Memang UiTM sedang dalam rombakan LPU selepas terdapat beberapa ahli sudah pun melepasi tempoh dua tahun perkhidmatan. Selain itu, kementerian dan universiti perlu akur dengan keputusan Kabinet supaya lantikan politik dihentikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, sumber berkenaan tidak mendedahkan calon-calon yang bakal dilantik untuk mengetuai LPU UiTM, namun tidak menolak jika Ibrahim Shah dilantik semula sekiranya menepati syarat dan kriteria ditetapkan.

Dalam pada itu, jurucakap UiTM turut mengulas penggantungan LPU adalah proses biasa apabila berlaku pertukaran pengerusinya, namun pelantikan pengerusi dan anggota baharu dibuat perlu menepati kriteria menerusi semakan butiran kurikulum dan pengalaman.

“Kita ada cadangan calon untuk kita hantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sama seperti lantikan biasa. Kita ada kenal pasti calon melalui semakan kriteria-kriteria seperti butiran kurikulum mereka dan pengalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN