Kos haji naik RM31,000

Kos haji naik RM31,000

TABUNG Haji memberi jaminan akan terus memberikan bantuan kewangan haji untuk golongan berpendapatan rendah susulan kenaikan kos menunaikan haji pada tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kos menunaikan haji secara muassasah tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM31,000, peningkatan kira-kira RM2,368 berbanding RM28,632 kos sebenar setiap jemaah pada musim lalu.

Dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman bagaimanapun berkata, bayaran haji yang perlu dibayar oleh seorang jemaah kepada TH masih belum dimuktamadkan.

Beliau memberi jaminan TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk golongan berpendapatan rendah melalui mekanisme Bayaran Haji secara bersasar yang mula diperkenalkan pada musim haji tahun lalu.

KOS SEBENAR

Bayaran Haji adalah jumlah yang perlu dibayar oleh seorang jemaah kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji iaitu lebih rendah daripada kos sebenar menunaikan haji.

Perbezaan kos itu ditanggung sepenuhnya oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji atau Hajj Financial Support (HAFIS) untuk jemaah menunaikan haji buat pertama kali secara muassasah.

TH juga menetapkan penerbangan pergi pertama jemaah pada 21 Mei 2023 (Isnin) dan penerbangan pergi terakhir pada 21 Jun 2023 (Rabu), manakala penerbangan pulang pertama pada 6 Julai 2023 (Khamis) dan penerbangan pulang terakhir pada 2 Ogos 2023 (Rabu).

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, pada musim haji lalu, penetapan Bayaran Haji bersasar adalah pada kadar RM10,980 (38 peratus daripada kos haji) bagi jemaah B40, manakala RM12,980 (45 peratus daripada kos haji) bagi jemaah haji bukan B40.

“TH memberi bantuan sebanyak 62 peratus (RM17,652) bagi seorang jemaah haji golongan B40 manakala 55 peratus (RM15,652) bagi jemaah haji bukan golongan B40. Bagi jemaah muassasah menunaikan haji kali kedua atau lebih, mereka perlu membuat bayaran penuh.

BERHEMAH

“TH sentiasa berusaha melalui perbelanjaan berhemah dan strategik agar kenaikan ini tidak terlalu membebankan jemaah haji,” katanya di sini semalam.

Menurut Syed Saleh, kos haji itu merangkumi tiket penerbangan, pengangkutan di Tanah Suci, sewaan bilik penginapan di Mekah dan Madinah, kos sajian makanan dan bayaran untuk pelbagai perkhidmatan asas kepada pihak-pihak berwajib di Arab Saudi.

Beliau memberitahu, antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi berikutan impak ekonomi global (seperti perang Russia-Ukraine, kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Co­vid-19), percukaian, kadar pertukaran wang dan pasaran hartanah di Mekah dan Madinah.

“Kenaikan ini juga disebabkan oleh caj tambahan membabitkan kemudahan sedia ada dan baharu yang diberikan termasuk kemudahan khemah di Arafah dan Mina, mutawif dan penggunaan bas yang lebih baik di Arab Saudi.

“Bagi menangani impak kenaikan kos haji ini, TH memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat-syarikat penerbangan dan juga memajak bangunan penginapan jemaah haji di Mekah dan Madinah untuk beberapa musim dalam usaha mengekalkan harga sewaan,” katanya.

Malaysia memperoleh semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu untuk musim haji kali ini iaitu sebanyak 31,600 orang berbanding 14,306 orang pada tahun lepas akibat pandemik Covid-19.

Justeru, mereka yang giliran tahun sepatutnya pada 2020, 2021 dan 2022 akan diberikan keutamaan untuk memenuhi kuota berikutnya bagi menunaikan ibadah haji musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN