PETALING JAYA: Kehilangan seorang jemaah umrah Malaysia, Musthafa Kamal Abdullah, 49, di Mekah terus menjadi tanda tanya dan menemui jalan buntu susulan mangsa masih tidak ditemukan walaupun sudah hampir sebulan kes itu berlaku.
Anak mangsa yang juga merupakan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di Batu Pahat, Muhammad Nabel Musthafa, 26, berkata, ahli keluarganya sudah membuat laporan polis dan di Kedutaan Malaysia sejak bapanya hilang pada 12 Disember lalu, namun masih belum mendapat apa-apa maklum balas daripada kedua-dua pihak.
Katanya, dengan laporan yang dibuat, mereka berharap kerjasama antara Kedutaan Malaysia dan pihak polis di Mekah dapat dibentuk bagi mengesan dan menjejak kedudukan ayah mereka yang hilang.
“Setakat ini tiada apa-apa perkembangan baharu yang diterima dari sana. Berita tentang kelibatnya pun tiada dan buat masa sekarang, kawan-kawan ayah sahajalah yang giat mencari dari satu tempat ke tempat di bumi Mekah.
“Saya dan ahli keluarga yang lain juga ada mencadangkan kepada pihak agensi pelancongan umrah kami dan pihak Kedutaan Malaysia untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tetapi masih tiada maklum balas kerana katanya ada banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum dapat kelulusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, ayahnya yang merupakan guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja juga tidak mempunyai penyakit misteri mahupun fizikal kecuali gout tetapi keadaannya sihat dan cergas ketika berada di sana.
Menurut Muhammad Nabel, bapanya ke Mekah dengan adiknya, Muhammad Muaz, 17, yang telah pulang ke tanah air 19 Disember lalu.
Pada hari kejadian katanya, bapanya itu tidak menyertai jemaah lain melakukan tawaf sebaliknya berehat di bilik hotel kerana keletihan.
“Agak misteri kehilangan ayah kerana apabila jemaah pulang daripada melakukan tawaf, mereka lihat dia sudah tiada di dalam bilik,” ujarnya.
Namun selepas beberapa hari kehilangannya katanya, mereka mendapat beg bapa dan juga gambarnya di dalam ambulans yang tular dan menjadi penunjuk untuk kami sekarang.
“Kami agak buntu sekarang ini di mana mahu mencari ayah.
“Sekarang ini, saya cuma boleh berharap agar kerajaan Arab Saudi dan juga kerajaan Malaysia dapat bekerjasama dan mengerahkan tenaga polis serta tentera di sana untuk mencari ayah saya sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN










