PETALING JAYA: Kapal kargo MV Dai Cat 06 serta lima kru yang hilang sejak 9 Januari lalu dipercayai tidak lagi berada di perairan negara berikutan tiada sebarang petunjuk ditemukan.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pencarian diteruskan di kawasan perairan Indonesia oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS).
“Masih tiada sebarang petunjuk setakat ini, status anak kapal juga tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, pencarian kapal MV DAI CAT masih diteruskan oleh BASARNAS di perairan Natuna dengan penglibatan masing-masing sebuah bot dan kapal dari Kantor SAR Natuna.
“Sebuah bot juga digunakan dari Kantor SAR Pontianak.
“Pencarian pada hari ini bertumpu di kawasan terakhir isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) yang dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) menggunakan Sistem COSPAS-SARSAT,” katanya.
Jelas beliau, Maritim Malaysia juga telah mengatur gerak aset di Maritim Negeri Sarawak bagi membantu pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu sehingga ke perairan Kuching.
“Siasatan lanjut sekiranya terdapat unsur- unsur jenayah melibatkan kehilangan kapal ini,” jelasnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kapal kargo membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak itu berkemungkinan dirampas individu tertentu.
Ada juga kemungkinan kapal yang dinaiki dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun itu juga boleh karam atau hanyut.
Syarikat kapal berkenaan dikatakan milik tempatan dan kapal berdaftar di Kuching, Sarawak manakala nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, berasal dari Indonesia. – UTUSAN










