Kampus Rembau, sewa Ayer Keroh

Kampus Rembau, sewa Ayer Keroh

ANTARA tempat penginapan yang dibina beberapa pihak di Kampung Pilin, Rembau untuk disewa kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Jika pelajar universiti di bandar terpaksa berjimat berikutan kos sara hidup yang tinggi terutama terpaksa menyewa rumah di luar kampus, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau pula amat sukar mendapatkan rumah sewa yang dekat dengan kampus.

Ini kerana kampus UiTM Rembau berada di kawasan luar bandar dan tidak banyak penduduk kampung yang mahu menyewakan rumah mereka.

Keadaan itu menyebabkan ada antara pelajar terpaksa mencari rumah sehingga ke Lubuk China di Melaka dan Seremban, malah ada yang menyewa rumah di Air Keroh, Melaka.

Seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan, yang ha­nya ingin dikenali sebagai Rina, 20-an, berkata, dia adalah antara pelajar yang terpaksa menyewa bersama empat lagi rakan di daerah Seremban yang jaraknya lebih 30 kilometer.

MERAYAU

“Memang tiada lagi rumah yang mahu disewakan berhampiran dengan kampus, kami sudah merayau dari satu kampung ke satu kampung dan dari satu taman perumahan ke satu taman perumahan lain, namun hampa.

“Kami hanya dapat mencari rumah sewa di Seremban. Ini tidak mengapa lagi, ada juga rakan-rakan yang menyewa di Ayer Keroh (Melaka) dan ada juga sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke kampus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Rina, keadaan tersebut menyebabkan pelajar perlu menanggung kos tambahan membabitkan kos pengangkutan untuk ke kampus.

“Sekurang-kurangnya sebu­lan kami perlu ada RM500 seorang iaitu untuk kos sewa rumah, minyak kenderaan dan makan minum seharian. Jumlah itu pun selepas berjimat cermat.

“Pihak pengurusan universiti memang ada bantu kami mencari rumah sewa namun memang tiada kediaman yang kosong dan menyebabkan kami terpaksa mencari rumah sewa jauh dari kampus.

“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil serius masalah ini memandangkan pelajar universiti semakin bertambah. Se­karang ada lebih 2,000 pelajar di UiTM Rembau. Akan datang jika jumlah pelajar bertambah, masalah penempatan pasti akan semakin kronik,” katanya.

PAPAN

Seorang lagi pelajar universiti yang sama, Helmi, 20-an, menyifatkan dirinya lebih bernasib baik kerana dapat menyewa bilik di sebuah rumah kampung yang berstrukturkan papan yang terletak berhampiran kampus.

“Dalam satu bilik, sekitar dua ke empat pelajar ditempatkan dengan bayaran sekitar RM200 hingga RM250 seorang. Ada yang dapat bayaran sewa se­rendah RM170 seorang namun ia tidak termasuk bayaran elektrik dan air,” katanya.

Menurutnya, walaupun bayaran sewa tersebut dilihat agak tinggi jika dibandingkan de­ngan keadaan rumah yang sudah berusia puluhan tahun, namun dia tidak mahu merungut kerana itu adalah lebih baik daripada rakan-rakan yang terpaksa menyewa rumah yang lebih jauh.

Baru-baru ini Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas berhubung pelajar universiti yang terpaksa mengikat perut bagi menampung kehidupan termasuk kos menyewa di luar kampus.

Menambah beban pelajar ada­lah sikap segelintir pemberi sewa menaikkan harga sewa kerana tahu penuntut institut pengajian tinggi (IPT) tiada pilihan banyak untuk mencari tempat tinggal.

Ekoran kesukaran mendapat tempat tinggal, terdapat pelajar yang terpaksa bersesak malah sehingga 20 orang bagi menyewa sebuah rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN