Jual sate dari motosikal masih popular

Jual sate dari motosikal masih popular

SALLEH Mahmood membakar sate di atas motosikalnya di tepi Jalan Utama Taman Ayer Keroh Height, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Alah bisa tegal biasa. Bagi penjual sate Salleh Mahmood, menjual makanan kegemaran ramai itu dengan menjaja dari motosikal bukan asing baginya.

Walaupun ada yang hairan mengenainya, tanggapan itu tidak menghalang Salleh, 60, untuk terus berniaga cara demikian yang telah diusahakannya sejak 35 tahun lalu.

Katanya, dia mula berniaga sate pada 1988 selepas seorang kawan mempelawanya membantu menjual juadah istimewa itu di sekitar Telok Mas dekat sini.

“Memandangkan saya tiada pengalaman, jadi saya belajar dengan rakan cara membuat sate. Selepas dua minggu, saya cuba menjual sate sendiri dengan menaiki motosikal Honda C70 ketika itu.

“Saya pergi ke kawasan kampung dan taman perumahan sekitar Ayer Molek, Telok Mas dan Kandang untuk mencari pelanggan. Alhamdulillah, jualan kali pertama sangat memberangsangkan walaupun tidak banyak.

“Mula-mula agak kekok menunggang motosikal sambil membawa peralatan membakar sate. Timbul juga rasa malu untuk menjual dari rumah ke rumah. Lama-kelamaan malu itu bertukar rasa puas dan seronok apabila bertemu pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Salleh, dia membawa kira-kira 800 cucuk sate setiap hari dan mula berniaga pukul 3 petang hingga 7.30 malam.

Menurutnya, dia berniaga di beberapa lokasi berbeza contohnya di Jalan Utama Taman Ayer Keroh Height pada Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad; Bukit Katil (Isnin); Taman Sutera Wangi (Selasa) serta Taman Padang Jambu (Khamis).

“Secucuk sate daging berharga RM1, sate ayam 90 sen dan nasi himpit bersaiz kecil 70 sen sebungkus yang mana biasanya akan habis dijual setiap hari. Sebenarnya sate yang sedap bergantung pada kuah, perapan dan bahan mentah yang digunakan.

“Di mana tempat sate itu dibakar tidak penting kerana hasilnya sama sahaja. Sebab itu gerai sate bergerak masih relevan kerana resipi atau teknik penyediaan yang membezakan rasanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN