PETALING JAYA: Guru-guru yang mengkritik dasar pendidikan di media sosial tidak wajar dihukum sebalik mereka perlu dibimbing seperti yang termaktub dalam pekeliling perkhidmatan awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik berkata, hukuman walaupun dalam bentuk amaran tentu akan memberi tekanan emosi kepada mereka.
Oleh itu katanya, langkah membimbing seperti termaktub dalam pekeliling yang perlu dipatuhi penjawat awam boleh digunakan berbanding dikenakan tindakan.
“Ada proses yang perlu dilalui sebelum diambil tindakan, panggil guru beri khidmat nasihat dulu bukannya terus beri amaran. Beri amaran sebenarnya tak bagus. Ia bentuk kekerasan daripada khidmat bimbingan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam akaun facebook miliknya meminta budaya memberi amaran terhadap guru yang mengkritik di media sosial supaya dihentikan.
Katanya, pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan.
“Ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran, adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, para guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam,” katanya
Mengulas lanjut, Jasni berkata, saranan Menteri Pendidikan bagaimanapun tidak perlu sehingga pekeliling yang ada ketika ini dibatalkan.
“Tak perlu batalkan pekeliling itu sebab jika seorang buat (kritikan) di media sosial, maka ramai akan buat dan ia boleh jadi tohmahan kepada kementerian,” jelasnya. – UTUSAN










