Harga ketum merudum 95 peratus - Utusan Malaysia

Harga ketum merudum 95 peratus

HARGA daun ketum di Thailand yang sebelum ini pernah mencecah RM180 sekilogram terutama pada musim pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini jatuh mendadak sekitar RM7 hingga RM10 sekilogram berikutan langkah Thailand yang sudah ‘menghalalkan’ ketum’- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengusaha-pengusaha tempatan mula menerima kesan apabila permintaan ketum da­ripada penyeludup Thailand merosot sehingga harga daun itu merudum dari RM180 se­kilogram kepada hanya RM7 sekilogram ketika ini.

Kejatuhan harga ketum se­kitar 95 peratus kerana permin­taan merosot susulan polisi Thai­­land menghalalkan ketum dengan rak­­yatnya kini bebas me­nanam pokok itu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan harga ketum di Thailand pernah mence­cah RM180 sekilogram khususnya ke­tika tem­poh Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mendo­r­ong peningkatan aktiviti penyeludupan barang terlarang itu.

Pengusaha ketum negara ini pula mampu meraih pendapatan lumayan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan bergantung kepada jumlah tanaman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, harga daun ketum selepas PKP boleh dibeli daripada pengusaha ne­geri ini dalam lingkungan RM15 hingga RM17 dan boleh me­ningkat kepada RM20 hingga RM30 sekilogram di Thailand.

SURINA SAAD

AKTA KETUM

Bagaimanapun, menurut beliau, selepas Akta Ketum diperkenalkan di Thailand pada Ogos 2022, harga ketum di negeri ini mulai turun dan terus menurun.

Kata beliau, sejak Thailand menghalalkan ketum, projek penanaman serta kajian berkenaan pokok dan daun itu telah dilakukan dengan giat dan secara tidak langsung menyebabkan penanaman dalam bentuk komersial telah di negara jiran sedang berkembang.

“Sekarang pengusaha hanya mampu menjual daun ketum dengan harga RM7 sekilogram dan harga selepas diseludup masuk ke Thailand hanya boleh mencecah RM10 sekilogram sahaja.

“Ekoran itu, penyeludup dari negara jiran itu mula tidak mahu mengambil risiko membeli ketum Malaysia kerana barang tersebut boleh diperoleh secara sah di Thailand,” katanya.

Selain itu, Surina berkata, aktiviti penyeludupan ketum di sempadan negeri ini juga semakin jarang kedengaran berbanding sebelum ini de­ngan setiap minggu ada sahaja tangkapan dan rampasan oleh pihak berkuasa sama ada melalui laluan darat atau laut.

Katanya, pada 2021, seba­nyak 160,022.25 kilogram atau 160 tan metrik daun ketum dirampas di sempadan negeri ini tetapi pada tahun lalu rampasan hanya sekitar 53,269.5 kilogram iaitu penurunan sehingga 66.71 peratus.

KETUM

Dalam pada itu, kata Surina, impak pengurangan permintaan ketum oleh Thailand menyebabkan berlakunya lambakan daun ketum di negeri ini dan pengusaha ketum terpaksa mencari alternatif dalam memastikan daun berkenaan dapat dipasarkan secara domestik.

“Polis mula mengesan terdapat kegiatan pengusaha ketum cuba memproses lambakan daun-daun ketum itu untuk pasaran tempatan.

“Daun-daun ketum direbus secara domestik dan dipasarkan kepada penagih-penagih ketum tempatan,” kata beliau.

Kata beliau, perkara itu boleh dibuktikan menerusi peningkatan rampasan cecair atau air ketum pada tahun lalu berbanding 2021.

“Pada 2021, sebanyak 29,055.25 liter cecair ketum dirampas di negeri ini dan jumlah itu meningkat kepada 30,218.35 liter pada tahun lalu.

“Meskipun mencatatkan peningkatan hanya empat peratus namun ia secara tidak langsung memperlihat kadar pengguna ketum domestik masih kekal pada tahap yang sama dan tidak berubah,” katanya.

Tambah Surina, situasi tersebut perlu diberikan perhatian kerana perubahan itu bakal menambahkan penagih-penagih ketum tempatan baharu ekoran harga cecair itu sedang dijual murah.

“Pada masa ini, harga air ketum RM10 seliter dan sekiranya berlaku lambakan daun-daun ketum secara berterusan maka harga seliter air ketum itu dijangka terus menurun,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN