Enam beradik Melayu mahir tarian singa

Enam beradik Melayu mahir tarian singa

MOHD. Farulnizam Mohd. Fisah bersama anak-anaknya (dari kiri) Mohammad Firdaus, Siti Aishah, Mohd Faiz, Mohamad Fahmi, Siti Alya dan Siti Aleesa yang berusia tujuh tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Siapa sangka di sebalik kelincahan seorang remaja Melayu Siti Aishah Mohd. Farulnizam, 17, mempersembahkan tarian singa, lima adik-beradiknya turut memiliki kemahiran yang sama sehingga mengundang perhatian di media sosial.

Bapa mereka, Mohd. Farulnizam Mohd. Fisah, 46, berkata, keenam-enam anaknya iaitu Mohammad Firdaus,19; Siti Aishah, 17; Mohd. Faiz, 16; Mohamad Fahmi, 13; Siti Alya, 9, dan Siti Aleesa, 7, mahir dengan seni persembahan tarian singa memandangkan mereka merupakan ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang.

Mohd. Farulnizam yang merupakan seorang peniaga dan Ketua Operasi Persatuan Bomba Sukarela Bayan Lepas di sini berkata, pada mulanya dia hanya menghantar anak sulungnya, Mohammad Firdaus untuk mempelajari tarian singa daripada jurulatih, Loh Woon Sim, 62, kerana mahu anaknya mahir berbahasa Mandarin.

”Ketika itu Mohammad Firdaus berusia tujuh tahun dan dia bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Eng. Jadi saya mahu dia mahir bertutur dalam bahasa Mandarin kerana di rumah dia hanya berbahasa Melayu.

”Selepas berlatih tarian singa bersama ahli-ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang, kemahiran Mohammad Firdaus untuk bertutur dalam bahasa Mandarin semakin baik dan dia juga lebih berdisiplin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, selepas melihat perubahan diri anak sulungnya itu, dia memutuskan menghantar kesemua anaknya termasuk Siti Aishah mempelajari seni kebudayaan tarian singa itu.

“Kesemua anak-anak saya belajar di SJKC dan menerusi tarian singa mereka dapat bertutur dengan lebih mahir dalam bahasa Mandarin.

”Saya juga dapat melihat mereka menjadi lebih cergas dan berdisplin kerana latihan tarian singa yang diajar jurulatih amat menerapkan disiplin dalam kalangan pemain-pemain tarian berkenaan.

”Mereka yang terlibat dengan tarian singa diajar supaya menepati masa, tidak boleh merokok dan perlu menghormati semua orang tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Tambahnya, dia sangat bangga apabila melihat keenam-enam anaknya dapat menguasai seni kebudayaan tarian singa itu dan mereka menjadi bukti seni budaya merentasi batasan kaum di negara ini.

”Anak-anak saya tetap mengamalkan ajaran Islam dan saya mendidik mereka dengan ajaran agama walaupun mereka meminati kebudayaan kaum lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN