PETALING JAYA: Dewan Rakyat menjalinkan hubungan erat dengan Dewan Negara apabila Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim menerima kunjungan hormat daripada dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ramli Mohd. Nor dan Alice Lau Kiong Yieng.
Ini setelah kedua-dua timbalan speaker itu dilantik semasa persidangan pertama Parlimen pada 19 Disember lalu melalui undi bersurat dalam kalangan ahli parlimen.
“Pada pertemuan pertama ini, Tan Sri Rais telah bertukar-tukar pandangan tentang apa yang giat dilakukan di parlimen selain turut menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan fungsi dan peranan utama parlimen sebagai sebuah institusi legislatif negara.
“Beberapa cadangan yang memerlukan kerjasama ahli-ahli daripada kedua-dua buah Dewan juga diutarakan,” menurut Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan.
Katanya, kerjasama-kerjasama ini boleh diusahakan melalui pembentukan jawatankuasa bersama seperti Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Antirasuah dalam membantu dan menangani isu-isu berkaitan rakyat.
“Pembentukan kerjasama seumpama ini diharapkan dapat menjadikan Parlimen sebagai sebuah institusi sandaran dan harapan untuk rakyat menyuarakan permasalahan yang dihadapi yang memerlukan perhatian pemimpin negara,” katanya.
Rais juga turut menerangkan tentang kedudukan Transformasi Parlimen yang sedang dalam proses melakukan beberapa pindaan terhadap akta seperti Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Parlimen turut berhasrat mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Penggubalan Kod Etika Ahli Parlimen juga dilihat mampu melancarkan perjalanan sidang dewan.
“Berasaskan kepada semangat pembaharuan ini, penglibatan kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.- UTUSAN