TAPAH: Meskipun telah melalui banyak pilihan raya, seorang pengundi warga emas mengakui perasaan teruja tidak pernah luntur malah lebih bersemangat untuk menjadi antara pengundi awal.
Marsinah Mat Dahalan, 82, berkata, dia mula mengundi seawal usia 20-an dan tidak pernah gagal mengundi pada pilihan raya umum.
“Saya biasa bangun awal, selepas solat Subuh terus bersiap-siap untuk dihantar anak ke sini. Alhamdulillah masih sihat dan kaki pun kuat untuk berjalan sendiri.
“Lega apabila selesai memilih. Saya memang tidak mahu lepaskan peluang sebab inilah masa untuk pilih wakil rakyat yang kita mahu,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong di sini semalam.
Sementara itu, Abu Hassan Saari, 86, dari Kampung Sungai Kroh berkata, keadaannya yang uzur dan terpaksa berkerusi roda bukan alasan untuk lari daripada tanggungjawab mengundi.
Katanya, dia bertolak awal dari kediamannya kerana tidak sabar untuk membuang undi.
“Walaupun tidak berapa sihat saya tetap datang kerana tidak mahu melepaskan peluang mengundi,” katanya. – UTUSAN










