Pelajar MRSM balas jasa 4 keluarga angkat

Pelajar MRSM balas jasa empat keluarga angkat

PUTERI Nur Ain Zulaikha Abdullah berkongsi kegembiraan bersama keluarga angkatnya apabila memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM di rumahnya di Kursial Baru, Tanah Merah, Kelantan. – MINGGUAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Ujian hidup terpaksa bertukar keluarga ang­kat sebanyak empat kali tidak ‘menggugat’ emosi Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, apabila meraih keputusan 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan Khamis lalu.

Berkongsi kisah dukanya itu, Puteri Nur Ain Zulaikha berkata, dia mula dijaga oleh keluarga angkat sejak bayi lagi.

“Bapa angkat meninggal du­nia pada 2017, selepas itu saya dijaga oleh nenek angkat. Beberapa tahun selepas itu nenek pula meninggal dunia dan kemudiannya dijaga pula bapa saudara ang­kat yang hidup susah.

“Saya kini tinggal bersama abang dan kakak angkat serta enam anak lelaki mereka sejak lima tahun lalu. Abang angkat saya, Mohamad Airul Roslam, 35, bekerja sebagai penjual ikan,” katanya semasa Penye­rahan Bantuan Kepada Pelajar Cemerlang B40 di Kusial Baru, di sini.

Puteri Nur Ain yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Bharu itu membe­ritahu, kesemua yang menjaga dia sejak kecil itu adalah individu dari keluarga bapa angkatnya.

Katanya, sejurus menerima keputusan cemerlang itu dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa semua orang yang telah membantunya sebelum ini.

“Sejujurnya saya tidak me­nyangka mampu meraih 9A selepas sekadar memperoleh 4A semasa percubaan. Saya kini memasang impian melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang fizik, dengan Jepun menjadi negara pilihan utama.

“Saya pernah ragu-ragu sebab kekangan kewangan. Tapi lepas dapat tawaran program pelajar cemerlang, saya yakin untuk teruskan cita-cita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang bercakap dengan Puteri Nur Ain Zulaikha melalui panggilan telefon berkata, agensi itu bersetuju menanggung sepenuhnya kos lanjutan pengajian termasuk jika ditawarkan ke luar negara.

Katanya, Puteri Nur Ain Zulaikha juga dijemput dalam sesi pertemuan khas dengan semua pelajar cemerlang di bawah bantuan kewangan pendidikan (BUDI) Mara di Kuala Lumpur dua minggu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN