KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu terus bekerjasama dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan tidak wujudnya drama politik yang menggugat ketidakstabilan negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, kerjasama tersebut wajar diteruskan agar enam PRN itu akan melibatkan pertembungan Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) sahaja.
Menurut beliau, sekiranya BN dan PH memilih untuk bertembung di peringkat negeri ia akan menggugat ketidakstabilan kerajaan di peringkat Persekutuan yang akhirnya akan membuat negara menyaksikan kerajaan tumbang kurang daripada satu penggal.
“Saya rasa untuk kemakmuran bersama tak perlulah (BN dan PH bertembung dalam PRN), Kerajaan perpaduan pun sudah dibentuk jadi kalau di peringkat persekutuan sudah bersama kenapa tidak di peringkat negeri.
“Negara tidak lagi memerlukan drama politik, kita mahu kehadapan jadi tak perlu perkara yang ‘memualkan’ kalau pertandingan pun biar antara kerajaan dan PN, itu lebih baik kerana beri keuntungan kepada rakyat juga,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, enam PRN bakal diadakan nanti akan memberi tanda yang jelas mengenai kedudukan kerajaan perpaduan.
“Ini kerana masing-masing boleh keluarkan ‘kad’ nak sokong siapa. Namun, sekiranya berlaku konflik di peringkat eksekutif, hidup boleh diteruskan disebabkan kita mempunyai satu akar kukuh daripada segi pentadbir awam walaupun terus bertukar. Kita juga sudah lihat bagaimana negara mengatasi konflik, jadi tidak perlu melatah,” katanya.
Tambahnya, selagi UMNO berada di bawah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahlinya masih setia, parti tersebut tidak akan menarik tangan daripada PH. – UTUSAN










