Bayi lelaki empat bulan didera hingga koma

Bayi lelaki empat bulan didera hingga koma

TIGA pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak yang disyaki mendera seorang bayi dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai didera sehingga koma di sebuah taman asuhan kanak-kanak di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, kejadian itu disedari bapa bayi tersebut ketika mengambil mangsa dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital pada 4 Januari lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan dalam otak, selain retak tempurung kepala.

Katanya, bayi tersebut masih berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

“Selepas laporan polis dibuat oleh bapa mangsa, pihak polis mengambil keterangan semua pekerja yang menafikan berlaku penderaan terhadap bayi terbabit.

“Namun, siasatan lanjut melalui rakaman litar tertutup (CCTV), pihak polis percaya wujud unsur-unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu di sini, hari ini.

Rohaimi memberitahu, pihak polis menyerbu taman asuhan kanak-kanak itu dan menahan tiga wanita tempatan berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh.

“Ketika kejadian, mangsa baru tiga hari didaftar untuk jagaan taman asuhan kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, Rohaimi menjelaskan, tiga suspek terbabit direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya