Banjir Pahang kian pulih, cuma 27 mangsa di sebuah PPS Rompin - Utusan Malaysia

Banjir Pahang kian pulih, cuma 27 mangsa di sebuah PPS Rompin

PETUGAS Jawatankuasa Banjir Daerah menurunkan pemidang di sebuah PPS berikutan penutupan dan mangsa banjir pulang ke rumah di Rompin, Pahang. - FOTO /IHSAN JKM ROMPIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Selepas tujuh hari banjir melanda beberapa perkampungan di daerah ini, keadaan bencana ini mulai pulih apabila hanya 27 mangsa daripada lapan buah keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Denai di sini sehingga pukul 4 petang hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, tiga PPS ditutup petang ini, iaitu balai raya Bukit Lepas, balai raya Kampung Rekoh dan balai raya Kampung Jawa.

“Penutupan tiga PPS petang ini apabila mangsa banjir yang ditempatkan di situ pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir surut.

“Bagaimanapun kawasan penempatan mangsa banjir berkenaan sentiasa dipantau keselamatan oleh anggota pihak berkuasa beruniform, balai penghulu dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) berikutan cuaca masih tidak menentu ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Che Adam, mangsa yang masih ditempatkan di PPS SK Denai juga dipantau kebajikan masing-masing oleh pihak berkuasa beruniform dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, banjir yang melanda beberapa penempatan di Mukim Keratong Dua dan Mukim Endau sejak 24 Januari lalu bermula pemindahan awal di PPS bandar Perwira Jaya dan Kampung Setajam.

“Bagaimanapun kedua buah PPS ditutup kelmarin berikutan banjir surut dan mangsa yang terjejas dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, anak Sungai Pahang di Rompin, iaitu Sungai Keratong di Jambatan Bahau – Keratong masih di paras 23.15 meter trend menurun, manakala dua lagi sungai, iaitu Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dan Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan menunjukkan peringkat waspada serta tren menurun.

“Hujan lebat dan ribut petir dilaporkan masih berlaku di kebanyakan tempat 11 buah daerah negeri mulai petang hari ini hingga ke malam esok.

“Penduduk yang tinggal di pesisir sungai perlu berwaspada dan sentiasa memperoleh maklumat sahih daripada pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan, balai penghulu dan JPKK,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.