PETALING JAYA: Usul tergempar berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipertanding atau sebaliknya dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dari 11 hingga 14 Januari ini, dipercayai tidak sempat dibahaskan meskipun dibangkitkan perwakilan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, lebih teruk perwakilan yang membangkitkan usul itu berisiko dikenakan tindakan tatatertib.
Katanya, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana perwakilan yang membangkitkan usul tanpa kelulusan daripada MKT UMNO kerana melanggar etika serta peraturan perbahasan.
“Jika perwakilan bangkit usul ini tanpa kelulusan usul MKT, maka ia tidak sah kerana melanggar etika serta peraturan perbahasan dan ini akan membawa kepada tindakan tatatertib parti.
“Secara jujurnya, ini semua taktik untuk dua jawatan ini Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya.
Menurut Salawati, meskipun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat perwakilan yang bakal membangkitkan usul berkenaan ekoran desakan kuat dalam kalangan akar umbi UMNO mahu dua jawatan tersebut dipertandingkan.
“Jika dilihat secara munasabahnya memang tidak sempatlah (bahas usul tergempar) sebab perwakilan nak membahaskan pun ambil masa.
“Tetapi akan ada yang membangkitkan usul ini jika tiada ruang langsung diberi kerana akar umbi mahu dua jawatan ini ditandingkan,” katanya.
Sebelum ini, terdapat desas-desus jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan minggu lalu memaklumkan keputusan berhubung dua jawatan berkenaan masih belum dibuat. – UTUSAN










