KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarina Zainuddin sentiasa berdoa hasrat anaknya yang juga penghidap autisme, Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan atau Azal, 26, untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki zuriat menjadi kenyataan.
Zarina, 52, berkata, Azal pernah menyuarakan keinginan untuk memiliki pasangan hidup, namun tidak tahu apakah akan ada wanita yang bersedia mendampinginya.
“Dia pernah memaklumkan mahu berkahwin dan memiliki anak kerana dia amat menyukai bayi. Tetapi dia sedar keadaannya dan tidak terdesak untuk berumah tangga.
“Sebagai ibu, saya percaya dia mampu menjadi suami dan bapa yang baik, Insya-Allah. Bahkan saya kenal dengan penghidap autisme lain yang berkahwin dan memiliki zuriat sendiri.
“Cuma Azal kena berkahwin dengan individu normal yang faham dan tahu bagaimana untuk kendalikan penghidap autisme,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Zarina mendedahkan banyak menerima pesanan daripada individu tidak dikenali kebanyakan warga negara Indonesia yang menyuarakan keinginan untuk berkahwin dengan anaknya itu.
“Saya rasa mereka tidak serius. Saya pun tak kenal dan tahu mereka siapa.
“Ada yang kata sangat menyukai Azal dan sanggup menjaganya. Saya hairan macam mana mereka boleh berkata demikian sedangkan mereka tidak kenal anak saya dan tidak faham latar belakangnya.
“Apa pun, calon isteri Azal kena ada di Malaysia. Perlu kenal dan tahu hati budi dia dahulu sebelum mahu mendirikan rumah tangga dengannya. Kalau pun Azal ditakdirkan berkahwin satu hari nanti, saya tetap akan minta dia dan isteri tinggal bersama saya agar saya masih dapat menjaga dan melihat keadaannya,” tambahnya. – UTUSAN










