ASEAN zon aman

ASEAN zon aman

ANWAR Ibrahim dan Jokowi mengadakan pertemuan di Istana Bogor, Jawa Barat, semalam bagi membincangkan kerjasama melibatkan Malaysia dan Indonesia. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAWA BARAT: Malaysia dan Indonesia sepakat memastikan keselamatan wilayah Indo Pasifik terpelihara dalam menjamin keamanan rantau ASEAN.

Kedua-dua negara turut akan mengambil pendekatan serius menangani diskriminasi minyak sawit di peringkat antarabangsa.

Ia ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam kenya­taan bersama yang turut menggariskan enam perkara untuk ditangani bersama dalam pertemuan di Istana Bogor, semalam.

Anwar yang dalam lawatan rasmi ke negara jiran itu berkata, turut dibincang mengenai hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, ter­utama peranan kedua-dua negara untuk menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau serta ekonomi dunia.

Selain itu, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia dan Indonesia akan meneruskan kerjasama rapat untuk mena­ngani isu kempen antiminyak sawit daripada Kesatuan Eropah (EU) yang disifatkan tidak berasas dan bercanggah.

“Kempen itu juga tidak mencerminkan kelestarian minyak sawit terutamanya di Malaysia dan Indonesia serta bercanggah dengan komitmen EU dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) bagi amalan perdagangan bebas,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan komitmen Malaysia terhadap isu-isu yang dibincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Indonesia itu antaranya tentang Myanmar, perlindu­ngan pekerja Indonesia di negara ini dan soal sempadan.

Terdahulu, Jokowi ketika membaca kenyataan bersama berkenaan berkata, kedua-dua negara sepakat untuk meneruskan, menguatkan ASEAN dan memastikan pertubuhan itu memainkan peranan dalam memastikan wilayah Indo Pasifik terus aman.

“Selain dalam isu Myanmar. Indonesia dan Malaysia mempunyai pandangan sama terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui dengan ASEAN untuk menamatkan krisis di negara itu. Kita mahu junta Myanmar melaksanakan 5PC itu,” kata Jokowi.

Anwar sebelum itu tiba di Istana Bogor pada pukul 10 pagi waktu tempatan dan diberikan sambutan negara oleh Jokowi.

Menurut Jokowi, pihaknya juga yakin di bawah kepemimpinan Anwar, kerjasama Indonesia dan Malaysia akan semakin kuat.

“Dalam pertemuan, saya me­nyampaikan beberapa hal, pertamanya, saya menyambut baik penglibatan pelabur Malaysia dalam pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN).

Sebanyak 11 pucuk Surat Minat (LOI) telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa IKN.

“Beberapa memorandum persefahaman (MoU) merangkumi bidang eksport import dalam lain-lain sudah ditandatangani,” kata Jokowi.

Kedua-duanya turut menyaksikan penyerahan LOI antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Pihak Berkuasa IKN, Bambang Susantono.

Mengenai isu pekerja, Jokowi menjelaskan, pihaknya juga me­nyambut baik komitmen Anwar dalam memberikan perlindungan bagi pekerja migran Indonesia dan berharap One Channel System untuk pengambilan dan penempatan pekerja benar-benar dijalankan bersama.

“Saya juga mengulangi permintaan pentingnya pembangunan Community Learning Centre di Semenanjung untuk pendidikan anak-anak pekerja migran,” katanya.

Dalam isu berkaitan sempadan, jelasnya, perjanjian persefahaman perbatasan dalam segmen Sebatik dan segmen Sinapat, Sesai dapat ditandatangani tahun ini dan juga perjanjian laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka bahagian selatan juga disepakati tahun ini.

Katanya, Indonesia turut menghargai komitmen Malaysia tentang maklumat penerbangan ruang udara Indonesia-Singapura dan proses seterusnya di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan dapat dilanjutkan.

Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang strategik Malaysia, malah antara Januari hingga November 2022 jumlah perdagangan dua hala kedua-dua negara telah mencecah RM120.26 bilion, peningkatan sebanyak 41.7 peratus.

Sehingga suku kedua 2022, pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak RM59.8 bilion manakala pelaburan Indonesia di negara ini sebanyak RM4.2 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya