Apa status Hajiji?

Apa status Hajiji?

Hajiji Noor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin perlu menggunakan kuasa bagi menentukan keabsahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menjadi pertikaian dan belum menampakkan jalan penyelesaian bagi menamatkan krisis politik di negeri itu.

Setakat ini Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendakwa Hajiji telah melanggar pematuhan perundangan negeri selepas keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaras peruntukan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, kepemim­pi­nan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam satu kenyataan bersama berkata, keabsahan Ketua Menteri ha­nya boleh ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpandukan kepada perlembagaan negeri.

Malah, pengana­lisis politik berpendapat Ke­tua Menteri itu masih sah mengekalkan jawatannya berdasarkan ke­du­dukan GRS yang berdaftar di bawah Ja­batan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai sebuah gabungan dan parti politik.

Mengulas perkara tersebut, Mohd. Shafie berkata, beliau menyerahkan isu keabsahan ketua menteri kepada Yang Dipertua Negeri untuk menentukan parti memperoleh soko­ngan majoriti.

“Saya tidak cakap mesti Warisan (jadi kerajaan), ia terserah kepada TYT (Yang Dipertua Negeri) untuk menentukan parti yang memiliki majoriti,” katanya di sini, semalam.

Dakwa Mohd. Shafie, ke­ada­an yang berlaku sekarang bukan mengenai sokongan yang mencukupi atau sebaliknya tapi mengenai pematuhan perundangan dan Perlembagaan Ne­geri Sabah yang dilanggar Hajiji selepas keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ketika ini, Hajiji Noor telah hilang keabsahan sebagai Ke­tua Menteri selepas beliau tidak lagi menjadi ketua parti. Maka, Hajiji harus meletakkan jawatan selaras dengan peruntukan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Tidak perlu ada gesaan agar Hajiji meletak jawatan kerana dari segi perundangan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu telah hilang keabsahan sebagai ketua menteri,” tegasnya.

Menurut Mohd. Shafie, se­kiranya Hajiji memahami dan mematuhi undang-undang dan menghormati Perlembagaan Negeri Sabah maka, dia harus meletak jawatan.

Katanya, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Warisan masih menjadi parti tunggal dengan menguasai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tiada sesiapa yang boleh mengesahkan bahawa Hajiji mempunyai kepercayaan majoriti ADUN.

Beliau berkata, setiap ADUN mempunyai hak untuk memilih mana-mana ADUN yang dirasakan layak untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dengan mengesahkan sokongan mereka kepada Yang Dipertua Negeri Sabah.

Beliau mendakwa, krisis po­litik yang melanda Sabah berpunca daripada tindakan Hajiji dalam usaha beliau untuk mengekalkan jawatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pen­syarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, Hajiji masih mendapat sokongan majoriti ADUN Sabah meskipun terdapat beberapa wakil rakyat menarik sokongan terhadapnya.

Katanya, Hajiji juga tidak berdepan isu hilang kelayakan sebagai ketua kerajaan negeri walaupun keluar daripada Bersatu kerana GRS yang dinaungi­nya didaftarkan di bawah RoS sebagai sebuah gabungan dan parti politik selaras perlembagaan parti.

“Pergolakan kerajaan ne­geri yang berlaku hanya cubaan parti politik untuk mengelirukan orang demi merampas kuasa dan jawatan ketua menteri disandang Hajiji,” katanya.

Sementara itu, Hajiji selesai menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah dalam pertemuan hampir sejam di Istana Negeri, petang semalam dipercayai berkaitan dengan rombakan Kabinet negeri yang dijangka pada Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN