KUALA NERUS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memberi tumpuan kepada tugas-tugasnya sebagai Perdana Menteri berbanding dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Anwar, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) belum mengadakan perbincangan mengenai persediaan ke arah menghadapi PRN.
Malah beliau menegaskan, ketika ini masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan tersebut.
“Kita akan bincang tetapi masih terlalu awal, bagi saya dalam sebulan dua ini hanya tumpu soal kerja, belum lagi bincang soal PRN,” kata Anwar selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam.
Anwar berkata, pihaknya juga belum mengadakan perbincangan berhubung hasrat UMNO bekerjasama dengan PH dalam enam PRN termasuk kekal menggunakan logo BN.
“Kita akan bincang, (sekarang ini) kita belum bincang pun lagi,” ujarnya.
Ditanya bila masa sesuai untuk mengadakan PRN di enam negeri itu, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada pentadbiran kerajaan negeri berkenaan untuk membubarkan DUN.
“(PRN) ini soal urusan negeri cuma dia akan tetapkan yang sesuai (tetapi) kalau idealnya semua sekali tetapi dia bukan di bawah bidang kuasa saya,” katanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelmarin memberi bayangan akan bertanding bersama PH dalam enam PRN akan datang, namun memilih untuk kekal menggunakan logo BN.- UTUSAN










