fbpx

Anak aktres mengaku salah miliki, hisap dadah

SYARRA Sudarman dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi dituduh atas dakwaan memiliki dan menghisap dadah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

KUALA PILAH: Seorang anak kepada aktres popular era 1990-an mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas tuduhan memiliki dan menghisap dadah.

Tertuduh, Syarra Sudarman, 29, membuat pengakuan berkenaan atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 12 Oktober tahun lalu, kira-kira pukul 11.45 pagi bertempat di sebuah hotel di pekan Kuala Pilah dalam milikan tertuduh terdapat dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.72 gram. 

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh yang sama kira-kira pukul 3 petang, bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, tertuduh telah memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama dengan seksyen 38B akta yang sama.

Berdasarkan fakta kes, pada tarikh dan waktu yang sama, polis telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bilik hotel dan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang perempuan dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berkenaan tidak menemui sebarang kesalahan. Seterusnya seorang detektif wanita membuat pemeriksaan beg yang dipegang tertuduh.

Hasil pemeriksaan telah menemukan dua peket berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah. Selain itu turut ditemui satu botol yang telah diubah suai bagi menghisap dadah.

Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya menyatakan sebelum ditangkap, dia memiliki pekerjaan tetap di Kuala Lumpur dan menanggung sepenuhnya seorang anaknya.

Menurutnya, anaknya kini dalam jagaan ibunya dan sepanjang dia berada di Penjara Sungai Udang, Melaka, dia menerima panggilan sebanyak dua kali dari ibunya yang memaklumkan kurang sihat.

“Saya harap hukuman dijalankan sama dengan tarikh saya ditangkap untuk saya jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu di Kuala Lumpur,” katanya.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh tangkapan bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum lima bulan penjara dari tarikh sabitan serta pengawasan polis tidak kurang selama tiga tahun.-UTUSAN.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN