KUALA LUMPUR: “Jom lawan (let’s fight),” itu yang dikatakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Khairy Jamaluddin semasa mereka berjabat tangan ketika bertemu pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.
Ketika ditanya Utusan Malaysia, Presiden UMNO itu mengakui itu yang diucapkannya kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebagai tanda beliau sedia dicabar oleh sesiapa sahaja pada pemilihan parti itu Mei ini.
“Saya baru jumpa (Khairy) dalam dewan tadi (semalam). Saya cakap dengan dia let’s fight, dan saya ikuti ucapan beliau di Singapura, ketika itu beliau bersama dengan Setiausaha Agung DAP.
“Saya juga ikuti kenyataan-kenyataan beliau dan beliau pernah bertanding melawan saya pada 2018 dan beliau telah meminta Tengku Razaleigh Hamzah melawan saya dan terakhir, perwakilan memilih saya.
“Saya jalankan tugas sebaiknya walaupun dicaci, diaibkan, diserang, dan diheret ke mahkamah dan ramai dalam kalangan mereka tepuk tangan kerana setiap hari saya turun naik ke mahkamah. Tetapi saya anggap ia sebagai satu cabaran,” katanya ketika di temu bual secara eksklusif di Perdana Suites, WTC, semalam.
Kenyataan itu menguatkan lagi perseteruan Ahmad Zahid dan Khairy yang dilihat semakin hangat apabila kedua-duanya menyatakan kesediaan untuk berentap bagi merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.
GENTAR
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak gentar dicabar termasuk daripada Khairy.
Khairy yang tewas kepada Ahmad Zahid pada pemilihan tahun 2018, kembali menunjuk minat merebut jawatan Presiden UMNO ketika berkempen di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu apabila beliau meluahkan mahu mengetuai UMNO.
Cita-cita bekas Menteri Kesihatan itu dikuatkan lagi Selasa lalu, apabila beliau memberi jaminan UMNO akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau atau sekutunya dipilih sebagai Presiden UMNO.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau terbuka untuk dicabar kali kedua oleh Khairy.
Pada tahun 2018, berlaku pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Presiden, di mana Ahmad Zahid turut dicabar Tengku Razaleigh Hamzah. Ahmad Zahid memperoleh 99 undi sementara Khairy, 61 dan Tengku Razaleigh memperoleh 30.
Dalam pada itu Presiden UMNO itu turut kecewa dengan tindakan Khairy menggunakan pentas kempen PRU15 untuk bertanding jawatan Presiden.
KEMPEN
“Kita seharusnya dapat membezakan pentas kempen pilihan raya dan pentas kempen pemilihan parti. Menerjah parti sebagai rosak, parti dipimpin seorang yang korup, parti berada dalam keadaan paling buruk ketika pilihan raya semata-mata untuk memenangkan dirinya.
“Akhirnya kalau betul-betul hebat pemimpin itu kononnya, kenapa kalah?
“Saya diserang dalam pilihan raya dari pelbagai sudut. Bukan sahaja oleh Pakatan Harapan, tetapi dari calon Perikatan Nasional sendiri, malah dari calon Bebas datang jauh daripada Johor dapat 200 undi lebih, dan jelas walaupun undi saya menjunam begitu banyak berbanding pilihan raya lalu, tetapi saya tahu pengundi putih saya dibayar untuk tidak keluar mengundi,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, beliau sebagai pemimpin yang berjiwa besar telah memberikan peluang kepada Khairy dengan meletakkannya sebagai calon di Sungai Buloh walaupun yang sebenarnya dia tidak diterima untuk bertanding di mana-mana kawasan
“Saya pernah menawarkan selepas orang itu kalah, jawatan-jawatan penting dalam UMNO dan BN untuk membantu dengan idea baru semangat baharu, tetapi jelas beliau, tidak mempunyai masa. Beliau mahu berehat. Beliau merasakan jawatan itu terlalu kecil.
“Ertinya apa? Hanya jawatan nombor satu sahaja mahu dipegang,” tambahnya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid, menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden wajar dipertandingkan atau tidak.
Sementara itu, Khairy menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok berkata, di sebalik kenyataan 140 Ketua Bahagian UMNO mendesak agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, Presiden pula menyatakan beliau sedia untuk dicabar.- UTUSAN










