KUALA TERENGGANU: Seramai 79 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu terbabit dengan salah laku dan masalah disiplin sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, jumlah itu melibatkan 10 yang berpangkat pegawai kanan, 67 pegawai rendah dan dua pegawai awam dengan semuanya telah dikenakan tindakan tatatertib.
“Kesemua mereka terlibat dengan pelbagai masalah disiplin termasuk 47 kes salah laku, kes jenayah (16), tidak hadir tugas (8), narkotik (5), syariah (2) dan satu kes rasuah.
“Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mengambil berat isu ini dan kita akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pegawai dan anggota di semua peringkat bagi menjaga imej PDRM,” kata beliau selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada 102 penerima termasuk wakil agensi kerajaan, media dan masyarakat pada Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu di sini, hari ini.
Sementara itu, Rohaimi berkata, sepanjang tahun lalu juga menyaksikan indeks kadar jenayah negeri ini menurun daripada 1,594 kepada 1,477 kes dengan 69 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah tangkapan di bawah Akta Dadah dan Akta Racun 1952 meningkat kepada 11,086 orang tahun lalu berbanding 10,222 orang pada 2021.
“Bagi jenayah komersial pula, 1,311 kes dilaporkan sepanjang 2022 dengan 536 tangkapan telah dibuat bagi siasatan lanjut,” tambahnya.- UTUSAN










