Sesi pembelajaran terjejas akibat banjir

Sesi pembelajaran tiga buah sekolah terjejas akibat banjir

DUA murid membantu rakan mereka berpindah ke dewan untuk meneruskan sesi pembelajaran berikutan bilik darjah sekolah mereka dimasuki air ketika tinjauan di SK Selekoh, Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sesi pembelajaran tiga buah sekolah di sini terjejas hari ini berikutan kawasan sekolah terlibat dinaiki air akibat hujan lebat.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selekoh, SK Sungai Tiang Darat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak, Selekoh.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sesi pembelajaran di SK Selekoh paling terjejas berikutan air masuk sehingga ke dalam bilik darjah di bahagian bawah bangunan sekolah itu.

Ini menyebabkan murid terpaksa berpindah ke dewan sekolah untuk meneruskan pembelajaran manakala tandas tidak boleh digunakan akibat banjir.

Sebelum ini, kawasan sekolah berkenaan sememangnya sudah dinaiki air sejak kira-kira dua minggu namun hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan air naik semula hingga ke dalam bilik darjah.

Begitupun, bilik darjah yang tidak dimasuki air, murid-murid meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.

Keadaan itu turut menyebabkan guru di sekolah itu bimbang kerana banjir termenung di kawasan sekolah itu menyebabkan airnya berbau busuk selain bertukar warna hitam.

“Kami bimbang air yang lama bertakung di kawasan ini mungkin menyebabkan jangkitan penyakit bawaan air yang menjejaskan kesihatan murid,” kata seorang guru di sekolah itu.

Sementara itu, penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian air naik hingga ke kawasan sekolah sudah beberapa kali berlaku.

Katanya, selain disebabkan hujan lebat dan fenomena air pasang besar, air naik disebabkan longkang tersumbat dan parit di kawasan itu tidak dibersihkan.

“Apabila parit tidak dibersihkan, air tidak dapat mengalir dengan cepat untuk keluar dari kawasan ke Sungai Tiang dan Sungai Perak. Kami berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera untuk memastikan kelas murid-murid di sekolah ini tidak terganggu,” katanya.

Katanya, masalah itu telah diadukan kepada pihak berkenaan seperti Pejabat Daerah Bagan Datuk juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya tidak pasti sama ada atau tidak tindakan dilakukan untuk mengatasi masalah banjir di sini. Kami sudah tidak tahan lagi untuk menghadapi masalah ini yang boleh dikatakan berlaku setiap tahun.

“Apabila musim hujan, kawasan sekolah ini akan dinaiki air limpahan daripada parti dan baunya busuk. Apatah lagi dijangkakan fenomena air pasang besar akan berlaku lagi di kawasan Bagan Datuk, kami tidak mahu terus begini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya