KEMAMAN: Tindakan berani seorang remaja lelaki meredah ombak berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan hampir lemas di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, Jumaat lalu.
Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, berkata, ketika kejadian, dia yang bersama beberapa penduduk yang berada di sebuah bangsal nelayan diberitahu mengenai kejadian lemas tersebut.
“Saya bersama penduduk lain bergegas ke pantai. Pada awalnya, saya fikir mahu redah sahaja ombak tersebut, namun bila melihat ada sampan yang ditinggalkan nelayan, saya terus ambil sampan tersebut dan mendayung mengharungi ombak sejauh 100 meter dari pantai.
“Masa kejadian, saya hanya fikir nak selamatkan nyawa budak perempuan tersebut sebab saya nampak dia tenggelam timbul beberapa kali,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di Kampung Penunjuk, Kijal, hari ini.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, ketika menghampiri kanak-kanak perempuan itu, dia meminta mangsa memegang bahagian tepi perahu sebelum dia mengayuh ke tepi pantai.
“Saya larang dia dari naik atas perahu sebab perahu tesebut kecil, bimbang kalau terbalik. Saya suruh dia bergayut dan bertahan sehingga ada beberapa individu lain yang menyambut adik tersebut.
“Saya rasa lega dapat menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Syukur dia terselamat, sebab ketika itu ombak memang kuat,” katanya.
MAHIR
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal di sini berkata, dia mahir berenang dan mengendalikan sampan serta bot kerana telah terbiasa mengikut bapanya, Asmadi Ripin, 42, yang turun ke laut menangkap ikan.
“Saya biasa ikut ayah menangkap ikan sejak darjah enam. Di laut, saya biasa terjun dari bot untuk buang objek yang terlekat pada pukat ayah,” katanya.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang, Jumaat lalu, Norhidayatul Khairulnissa Mohamad, 12, dari Bandar Seri Bandi, diselamatkan daripada lemas ketika mandi di pantai itu bersama ahli keluarganya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.
Tindakan berani remaja itu mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji keberanian remaja itu.- UTUSAN