Raub kembali dilanda banjir, 34 mangsa dipindahkan di Dong

Raub kembali dilanda banjir, 34 mangsa dipindahkan di Dong

ANGGOTA bomba dan APM sedang membawa mangsa warga emas dan kanak-kanak di Kampung Kuala Dong berpindah ke PPS Dewan Kampung Pia, Dong di Raub, Pahang. - FOTO /IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Banjir kembali melanda di tiga buah kampung di daerah ini apabila 34 mangsa daripada 11 buah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Pia, Dong di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak pukul 7 petang semalam hingga pukul 1 pagi hari ini menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan penempatan Kampung Sungai Kerak, Kampung Ajai dan Kampung Kuala Dong.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan sejak awal pagi ini di PPS Kampung Pia.

“Mereka dipantau keselamatan dan kebajikan oleh APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya dalam kenyataan di sini. 

Sementara itu, Ketua Zon Tiga JPBM Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai enam anggota JBPM Raub, empat PDRM dan tujuh APM Raub menjalankan kerja pemindahan mangsa sejak awal pagi ini.

“Operasi pemindahan ini serta pemantauan keselamatan di PPS tersebut dibantu dengan kekuatan empat buah kereta dan lori penyelamat milik PDRM dan JBPM, manakala APM Raub menyediakan sebuah bot penyelamat dan ambulans,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahrul Nizam menjelaskan aliran Sungai Dong berdekatan Kampung Pasir Bayam pada paras amaran, iaitu setinggi 117.84 meter, manakala Sungai Gali berdekatan Kampung Ulu Gali juga di paras bahaya mencatat ketinggian 123.09 meter pada pukul 7 pagi ini.

Katanya, air Sungai Lipis berdekatan Batu Malim dan Sungai Dong berdekatan Kampung Peruas masih menunjukkan paras biasa dan bertahan, manakala keadaan cuaca pada pagi ini cerah.

Ujarnya, penduduk di pesisir Sungai Dong, Sungai Gali dan Sungai Lipis dinasihatkan sentiasa berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang situasi banjir di kawasan tersebut daripada anggota APM, JBPM, polis dan pihak berkuasa beruniform lain. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya