SUNGAI BULOH: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan menghormati pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik semua barisan Kabinet di bawah pimpinan Presiden PKR itu.
Menurut Ramanan, pelantikan semua jemaah menteri berkenaan berdasarkan komposisi parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan dan beliau menerimanya meskipun namanya tidak tersenarai.
“Itu adalah pendirian Perdana Menteri kerana kita juga adalah Kerajaan Perpaduan jadi itu adalah berdasarkan komposisi-komposisi parti.
“Kita biarlah keputusan itu untuk dijaga oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Sungai Buloh anjuran beliau di Bukit Rahman Putra, di sini, hari ini.
Katanya, apa yang penting, beliau akan memberi tumpuan kepada penduduk Sungai Buloh dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
“Saya akan fokus dekat Sungai Buloh dengan memberi tumpuan kepada Cabang PKR dan penduduk di sini untuk memastikan masalah kesesakan lalu lintas dan banjir diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, Ramanan dikatakan antara nama yang bakal menganggotai jemaah Kabinet di bawah pimpinan Anwar selepas beliau mengalahkan nama besar dalam politik, Khairy Jamaluddin.
Ramanan mengalahkan Khairy yang merupakan calon Barisan Nasional dengan majoriti 2,693 selepas memperoleh 50,943 undi manakala Khairy, pula meraih 48,250 undi.
Sementara itu, lebih 2,000 penduduk Sungai Buloh hadir pada majlis kesyukuran berkenaan bagi meraikan kejayaan Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan empat kali berturut-turut di parlimen tersebut.
Menurut Ramanan, majlis tersebut merupakan penghargaan dan tanda terima kasih beliau buat penduduk Sungai Buloh yang memenangkan beliau pada PRU15. –UTUSAN