Rafizi, pimpinan PKR perlu nyatakan prinsip

Rafizi, pimpinan PKR perlu nyatakan prinsip

AZMAN NASRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli yang kini dilantik sebagai Menteri Ekonomi serta pimpinan parti itu dicabar menyatakan pendirian mereka berkaitan menentang rasuah susulan pelantikan barisan jemaah menteri, semalam.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkata, ini kerana Mohd. Rafizi menyatakan mahu menjadi antara orang terawal yang akan menentang sekiranya wujud rundingan kerjasama antara PKR dan UMNO.

Beliau yang juga bekas pimpinan parti itu mendakwa, pemimpin PKR hanya pandai beretorik terutama dalam perkara menentang rasuah, tetapi, ‘menikus’ apabila berdepan Presiden parti sendiri.

“Ada disebut pada awal kempennya, dia adalah orang pertama yang akan menentang kepada sebarang keputusan (bekerjasama dan) melantik pemimpin yang ada salah laku rasuah. Saya harap, kalau mai Padang Serai jangan menipu lagi, buat kenyataan yang betul. Kita cabar Mohd. Rafizi dan pemimpin PKR lain menyatakan prinsip sendiri bahawa mereka menentang rasuah.

“Jangan kerana jawatan, tembolok dan kuasa sanggup mengenepikan semua prinsip. Saya tahu mereka tidak berani, tak seperti pemimpin PKR yang keluar parti, kita berani menegakkan prinsip yang sebenar. Sebab itu kita tinggalkan PKR sebelum ini,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Lunas, hari ini.

Pada 1 November lalu, Mohd. Rafizi dipetik berkata, beliau tidak akan berdiam diri sekiranya wujud rundingan antara PKR dan UMNO walaupun tanpa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PN sedih dengan pengumuman Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana ia dilihat akan memberi impak negatif kepada negara.

“Pelantikannya yang akan dijatuhkan hukuman mahkamah tidak lama lagi memberi gambaran kepada dunia bahawa Perdana Menteri Malaysia yang selama ini melaungkan reformasi, tolak rasuah dan kleptokrasi terpaksa tunduk kepada Ahmad Zahid.

“Ia mampu memberi kesan buruk kepada negara apabila pelabur dari seluruh dunia yang mungkin melihat Malaysia tidak serius dan sambil lewa sahaja untuk membanteras rasuah. Terus terang saya katakan, tidak suka kepada Perdana Menteri, tetapi, kita harap dia dapat bentuk Kabinet yang bersih,” katanya.

Azman berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga jelas mengamalkan sikap pilih kasih demi kepentingannya apabila melantik Ahmad Zahid yang kononnya ‘memegang’ 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kerana tanpa mereka, mungkin beliau tiada sokongan sebagai Perdana Menteri.

“Ini satu double standard, nampak sangat tidak melantik Lim Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (yang turut terpalit isu rasuah) itu tidak menjejaskan kuasa Perdana Menteri kerana mungkin tidak berlaku protes dan sebagainya,” tegasnya.

Justeru, beliau yakin pengundi di Parlimen Padang Serai termasuk yang bukan Melayu akan menghukum kerajaan baharu dengan memberikan undi serta sokongan kepada PN. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.