PRU15 DUN Tioman: Bukti rakyat terima rasional gabungan BN-PH

PRU15 DUN Tioman: Bukti rakyat terima rasional gabungan BN-PH

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Mohd. Johari Hussain diumumkan menang PRU15 DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman semalam memberi makna besar kepada parti itu kerana berdepan saingan cukup sengit daripada gabungan Perikatan Nasional (PN). 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan itu juga memperlihatkan keputusan pembentukan kerajaan negeri antara BN dan Pakatan Harapan (PH) diterima rakyat.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan rakyat menaruh keyakinan kepada kerajaan negeri bagi membantu mereka dan membawa perubahan.

“Sudah tentu masyarakat boleh menerima (kerjasama BN-PH) kalau tidak, mana mungkin kita boleh menang, maknanya mereka boleh terima rasionalnya mengapa kita bergabung dengan PH.

“Saya jelaskan beberapa kali bahawa kerajaan harus ditubuhkan bagi melaksanakan tugas untuk rakyat dan sekiranya kerajaan tidak dapat ditubuhkan yang ruginya rakyat kerana tidak ada mana-mana blok pun yang akan menubuhkan kerajaan. 

“Ini adalah satu bukti nyata bahawa gabungan ini diterima oleh masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, begitu juga di tempat lain,” katanya di sini hari ini.

Keputusan PRU15 DUN Tioman menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selama empat penggal dengan mendapat majoriti 573 undi.

Dalam pertembungan lima penjuru itu, Mohd. Johari mendapat 8,080 undi, calon PN, Nor Idayu Hashim (7,507) undi, calon PH, Mohd. Fadzli Ramli (784 undi), calon Parti Pejuang Tanah Air, Osman Bakar (79 undi) dan calon Bebas, Sulaiman Bakar (58 undi).     

Sementara itu Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada semua perkara dibangkitkan semasa berkempen agar dapat dilaksanakan demi rakyat.

Beliau berkata, setiap perkara dan permohonan akan cuba diselesaikan sedaya upaya secara berperingkat demi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Semua perkara yang dibangkitkan semasa kempen saya akan teliti kerana ada beberapa perkara yang tidak diluluskan dengan serta merta ada juga beberapa perkara yang boleh diluluskan dengan serta merta,

“Contohnya isu berkaitan dengan pembangunan, melibatkan kos yang tinggi saya terpaksa melihat dan memastikan ada peruntukan baru kita laksanakan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.