TAMPIN: Polis kini sedang mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak pagi semalam di Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini.
Warga emas tersebut, Aliah Omar, 74, disedari tiada di rumah oleh anaknya kira-kira pukul 7.30 pagi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman, polis menerima maklumat mengenai kehilangan berkenaan pada pukul 8.02 pagi tadi.
“Anak mangsa bimbang apabila ibunya tidak pulang ke rumah setelah keluar. Warga emas ini tidak mempunyai kenderaan dan hanya berjalan kaki.
“Kali terakhir keluar dari rumah, warga emas berkenaan memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, warga emas berkenaan kadang kala mengalami masalah lupa dan operasi mengesannya kini sedang giat dilaksanakan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi warga emas tersebut boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Rodzi Masa’at yang juga Ketua Polis Balai Gemas di talian 07-9481221 atau mana-mana balai polis berhampiran. –UTUSAN










