BACHOK: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda ke atas seorang pembantu kantin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan kira-kira 100 bahan pornografi termasuk video lucah di dalam telefon bimbitnya, minggu lalu.
Siti Munirah Muhamad, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki seunit telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi beberapa rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga, dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada 6 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.
Terdahulu, Norizaidah dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana tertuduh merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM35 sehari.
“Tertuduh mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun. Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu untuk memberi teladan baik kepada anaknya,” katanya.
Muhammad Aiman Syahmi memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Mengikut fakta kes, bertindak atas hasil maklumat Op Cyber Guardian, sepasukan anggota polis Cawangan D11 (Seksual/Cyber) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama beberapa unit lain menyerbu sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh menjumpai kira-kira 100 bahan lucah yang disimpan di dalam peranti tersebut.
Susulan itu, polis merampas peranti terbabit sebelum laporan forensik mengesahkan kewujudan kandungan berunsur lucah di dalam telefon itu. – UTUSAN










