SEREMBAN: Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif telah membuat permohonan rasmi untuk kembali kepada UMNO melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Mohd. Salim yang sedang menjalani hukuman penggantungan keahlian itu merupakan antara tiga bekas ahli UMNO di negeri ini yang memohon kembali ke parti itu melalui meka Rumah Bangsa.
Beliau berkata, dua yang lain masing-masing ahli UMNO Bahagian Jelebu dan Rasah.
“Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri ini yang bermesyuarat baru-baru ini telah bersetuju untuk mengemukakan rayuan yang dibuat oleh Mohd. Salim kepada Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin untuk diputuskan.
“Kesemua permohonan telah diangkat dan saya serahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan,” katanya semalam.
Jalaluddin memberitahu, beliau percaya pihaknya akan terus menerima permohonan atau rayuan daripada ahli UMNO di negeri ini yang dipecat, digantung atau keluar parti daripada semasa ke semasa.
“Di Negeri Sembilan tidak ramai ahli UMNO yang termasuk dalam tiga kategori ini.
“Semua mereka tidak mempunyai atau mendatangkan masalah kepada UMNO negeri untuk menerima mereka semula asalkan kemasukan mereka akan memberikan kekuatan dan kemantapan kepada UMNO,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun mereka yang berkenaan belum menghantar rayuan, pihaknya akan terus mengamalkan pendekatan terbuka sejajar dengan hasrat Rumah Bangsa.
“Sesiapa yang berhasrat kembali kepada UMNO boleh menghantar permohonan melalui ketua bahagian masing-masing atau terus kepada saya di peringkat Perhubungan UMNO Negeri,” ujarnya.-UTUSAN.










