PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat tepat berhubung krisis tenaga yang dihadapi negara ketika ini.
Menurutnya, penjawat awam tidak seharusnya mempertahankan langkah kerajaan semata-mata sebaliknya menyampaikan maklumat yang betul berkenaan setiap isu yang timbul dalam masyarakat.
“Penjawat awam harus menjelaskan. Bukan soal mempertahankan Perdana Menteri atau menteri ataupun kerajaan, tetapi menyatakan hak dan memberi pandangan balas jika ada perkara yang tidak disenangi atau perlu diusulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar memuji prestasi penjawat awam kerana mampu mendepani cabaran dan tekanan susulan krisis tenaga global ketika ini.
“Budaya dan tradisi dalam perkhidmatan awam ini menjadi antara faktor utama prestasi dan kejayaan membanggakan perkhidmatan awam itu.
“Alhamdulillah, lihat sahaja prestasi negara kita, bukan sahaja sebelum krisis, tetapi juga selepas (krisis),” katanya.
Jelasnya lagi, pencapaian itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih baik berbanding negara jiran lain.-UTUSAN










