Pintu sempadan Padang Besar dicadang buka sehingga 12 tengah

Pintu sempadan Padang Besar dicadang buka sehingga 12 tengah malam

PADANG Besar akan menjadi lebih meriah sekiranya dilanjutkan waktu operasi sehingga pukul 12 tengah malam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tempoh pembukaan pintu sempadan Padang Besar-Thailand perlu dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam bagi merancakkan pembangunan ekonomi setempat di kawasan itu.

Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim berkata, buat masa ini, pintu sempadan di Padang Besar ditutup pada pukul 10 malam dan tempoh itu agak terhad bagi membolehkan pengunjung dari kedua-dua negara untuk keluar masuk.

Katanya, Padang Besar menjadi pusat pertumbuhan ekonomi di sempadan sejak dahulu lagi buat negeri Perlis khususnya selepas kewujudan arked niaga dan beberapa tarikan lain di kawasan itu.

“Kita melihat Padang Besar ini sudah menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk membeli belah, namun, pertumbuhan ekonomi ini hanya wujud pada waktu siang sahaja, namun, menjelang malam, pekan itu dilihat ‘mati’.

“Kalau boleh, kita berhasrat untuk melanjutkan waktu penutupan pintu sempadan di Padang Besar bagi memudahkan pergerakan keluar masuk pengunjung ke sini khususnya pada cuti hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu, Izizam berkata, terdapat beberapa perancangan diatur bagi tujuan pembangunan ekonomi di Padang Besar, namun, ia masih memerlukan penelitian dan perbincangan secara menyeluruh.

Beliau berkata, Padang Besar yang terletak di kawasan sempadan sememangnya amat berpotensi untuk dibangunkan, malah, kegiatan ekonomi di sana juga dapat dirancakkan antaranya dengan mewujudkan pasar larut malam atau lebih dikenali sebagai uptown.

“Dalam perancangan selepas ini, kita cuba untuk wujudkan uptown di Pekan Cina Padang Besar yang sememangnya sangat berpotensi untuk merancakkan ekonomi sempadan antara Malaysia dan Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai kawasan sempadan di Wang Kelian, Izizam berkata, kawasan itu juga perlu dibangunkan semula demi manfaat penduduk setempat di sana.

Tambahnya, anak muda di Wang Kelian juga dapat menggunakan peluang untuk berniaga sekiranya sektor ekonomi di sana dapat dibangunkan semula.

“Kalau gerai-gerai di Wang Kelian dapat beroperasi semula, ia akan memberi limpahan ekonomi yang sangat besar dan dalam masa sama masalah-masalah sosial juga dapat diatasi memandangkan anak muda tempatan boleh mencari makan melalui perniagaan di sana,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya