Pindaan Akta Kerja: Kos majikan naik RM111 bilion - Utusan Malaysia

Pindaan Akta Kerja: Kos majikan naik RM111 bilion

Pindaan Akta Kerja 1955 didakwa menyebabkan majikan perlu menyediakan kos tambahan RM111 bilion setahun. – GAMBAR HIASAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan bakal menanggung kos tambahan pekerja sebanyak RM9.25 bi­lion sebulan atau RM111 bilion setahun apabila Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) mula dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Januari ini.

Kenaikan mendadak tersebut dilihat membebankan majikan dan dikhuatiri banyak majikan yang tidak mampu meneruskan operasi atau mengambil pendekatan mengurangkan kakitangan bagi mengelakkan daripada gulung tikar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pindaan akta tersebut memang dinanti-nantikan kalangan pekerja kerana akan menguntungkan mereka, namun perkara itu membebankan majikan.

Menurut beliau, ini kerana majikan terpaksa menanggung bebanan ‘besar’ secara mendadak terutamanya dari segi kos membayar kenaikan gaji, bayaran kerja lebih masa dan faedah-faedah lain yang ditambah baik dalam pindaan Akta Kerja 1955.

“Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat untuk membolehkan majikan membuat persiapan menanggung kenaikan kos operasi. Pelaksanaan berperingkat membolehkan peningkatan kos diserap dalam jangka masa yang lebih panjang dan bukan secara mendadak,” katanya.

Kata beliau, pada tahun ini sahaja majikan sudah dibebani dengan pelaksanaan gaji minimum antara 25 peratus sehingga 36 peratus bermula Mei lalu dengan majikan menanggung kos keseluruhan kira-kira RM4 bilion untuk tahun ini sahaja.

KOS

Kata beliau, anggaran tersebut adalah jumlah semua kos yang perlu sekiranya akta tersebut dilaksanakan dengan segera.

Pada 21 Disember lepas, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dilaporkan berkata, Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang ditangguhkan pelaksanaannya sebelum ini akan mula berkuat kuasa 1 Januari depan.

Beliau berkata, penguatkuasaan mulai tahun depan perlu dilaksanakan walaupun pihak industri meminta penangguhan dilanjutkan.

Jelasnya, ini kerana undang-undang itu diluluskan di Parlimen dan sebahagian besarnya daripada pindaan itu adalah berdasarkan kepada Konven­syen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan perkara itu sebagai jaminan kepada pekerja.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, MEF mencadangkan kerajaan meneliti semula pelaksanaan pindaan yang dilihat memberi cabaran hebat kepada majikan.

Menurut beliau, pindaan tersebut sepatutnya dilakukan menjurus kepada keputusan ‘menang menang’ antara pekerja dan majikan supaya ia dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing yang lebih baik terutamanya di peringkat antarabangsa.

BERGELUT

“Pada masa ini, kebanyakan majikan masih bergelut de­ngan masalah aliran tunai terutamanya perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sedhana (PMKS).

“Kebanyakan majikan juga masih cuba memulihkan perniagaan masing-masing akibat Covid-19, banjir besar dan ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.

“Apatah lagi 2023 diramalkan sebagai tahun yang sukar dan majikan seharusnya dibantu untuk memampankan perniagaan mereka serta membantu menstabilkan pasaran buruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M. Saaid berkata, pindaan pelaksanaan Akta Pekerja perlu ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan semasa terutamanya sektor ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, ini kerana pindaan itu akan menyebabkan kenaikan kos operasi perniagaan dalam keadaan kekura­ngan pekerja.

“Kita tak mampu menanggung kos. Apabila dipinda waktu bekerja dari 45 jam seminggu kepada 48 jam seminggu, apa yang menjadi masalah adalah dari segi kakitangan hotel yang berkurangan.

“Jadi ia akan menyebabkan keperluan kakitangan beker­ja lebih masa, maknanya kos penggajian kepada kakitangan bertambah,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan akta tersebut ke satu masa yang lebih mengizinkan.

“Sektor hotel dan pelancongan belum pulih, kita jangkakan pemulihan berlaku penghujung 2023 atau pada 2024.

“Tetapi ini bukan sahaja soal sektor pelancongan, sektor lain juga masih terkesan dengan tahun depan dijangkakan berlaku krisis ekonomi besar.

“Kalau untung berlebihan tak ada masalah, tetapi sekarang ini memang tidak mampu sebab situasi yang tidak membenarkan kami melaksanakan perkara yang dipinda itu,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×