PH-BN perlu teladani ‘konflik’ MN hadapi PRN di enam negeri

PH-BN perlu teladani ‘konflik’ MN hadapi PRN di enam negeri

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu memperkukuhkan kerjasama untuk menawan enam negeri secara bersama pada pilihan raya negeri tahun depan.

Apa yang terjadi antara BN dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) yang terkubur di tengah jalan sehingga berpecah membawa haluan masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) harus dijadikan teladan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. P. Sivamurugan berkata, asas kerjasama kedua-dua gabungan itu perlu diperkukuhkan selepas Kabinet ditubuhkan dalam konteks menghadapi PRN nanti.

Menurut beliau, pimpinan di peringkat negeri juga harus kembali kepada rundingan dan tawar-menawar terutamanya dalam soal pengagihan kerusi agar selari dengan hasrat yang ditunjukkan di peringkat Pusat.

“Ia bukan mudah, tetapi asas itu perlu. Curiga antara satu sama lain masih ada dan bersifat longgar kerana pembunuhan karakter dan mengaibkan antara satu sama lain sepanjang kempen (PRU15) masih besar.

“Jadi (asas kerjasama) di akar umbi itu perlu diperkukuhkan supaya dapat memahami kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.

“Political will (kemahuan politik) perlu tinggi jika mahu bekerjasama dalam konteks gabungan seperti ini. PH dan BN juga harus pelajari bagaimana harus perbaiki hubungan mereka berdasarkan pengalaman Pas dalam MN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, pihaknya tidak menolak kedua-dua gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan itu tidak bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, ia tidak mustahil bersandarkan pertembungan BN dengan Pas walaupun berada dalam satu jajaran bersama sebelum ini.

“Kita boleh lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor lepas, di peringkat Pusat mereka bersama, tetapi bertembung di peringkat negeri.

“Jadi, kedua-dua gabungan perlu kembali kepada perundingan, pengorbanan dan kompromi, tidak boleh mengharapkan satu pihak berkorban.

“Namun, saya rasa pertembungan itu mahu dielak PH dan BN seperti saingan yang dapat kita lihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila PH beri laluan kepada BN untuk elakkan pertembungan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung sejauh mana jalinan kerjasama antara PH dan BN dapat dicapai dalam konteks PRN.

Ia susulan enam lagi negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak pada Pilihan Umum Ke-15 (PRU) yang lepas, sebaliknya menunggu sehingga habis penggal.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, pertembungan PH dan BN di enam negeri perlu dielakkan kerana kerjasama kedu-dua gabungan itu sudah dilihat positif di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, ini kerana pimpinan negeri juga memainkan peranan penting supaya ia tidak menunjukkan kegoyahan sokongan di peringkat Pusat.

“Setakat ini, kerjasama PH dan BN di Pusat nampak berkesan dan kita boleh lihat sudah ada pergerakan positif kedua-dua gabungan menghadapi PRN di enam negeri.

“Ini kerana kita boleh lihat DUN Tioman, Parti Amanah bantu untuk memenangkan calon BN. disebabkan kepentingan politik juga, Presiden Amanah, Mohamad Sabu boleh sepentas dengan pimpinan BN.

“Oleh itu, jika PH dan BN bertembung di peringkat negeri, maka itu adalah satu kerugian kerana (kerjasama) di peringkat Persekutuan sudah cantik. Jadi, apabila tiba-tiba mereka ‘bergaduh’ di negeri, maka ini menunjukkan kegoyahan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya