KUALA LUMPUR: Penganjur konsert di negara ini disaran memperkemaskan sistem penjualan tiket bagi melindungi peminat daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dan aktiviti penjualan tiket secara tidak sah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, isu penipuan tiket perlu diberi perhatian serius memandangkan penganjuran konsert di Kuala Lumpur berlangsung hampir setiap minggu.
“Saya menasihatkan semua penganjur supaya memperkemaskan proses kerja masing-masing. Pada masa sama, orang ramai perlu mematuhi nasihat yang diberikan pihak berkuasa agar masalah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya semasa sidang akbar selepas Acara Penghargaan Bank Heroes #JanganKenaScam 2026, di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rusdi memaklumkan, pihak polis telah mengambil langkah awal sebaik menerima maklumat mengenai penipuan tiket melibatkan konsert BTS World Tour.
Katanya, arahan segera telah diberikan kepada pegawainya untuk menghubungi pihak penganjur agar mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kewujudan unsur penipuan.
“Langkah itu penting bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak berterusan dan lebih ramai peminat tidak menjadi mangsa,” jelasnya.
Katanya, sebanyak 41 kes direkodkan setakat ini namun angka tersebut masih lebih rendah berbanding kes-kes penipuan yang pernah berlaku sebelum ini.
“Jika ditanya, 41 kes itu tidaklah terlalu banyak. Sebelum ini, bagi acara sukan seperti perlawanan bola sepak, jumlah kes yang dilaporkan lebih tinggi. Namun, orang ramai perlu mengikut saluran yang dibenarkan ketika membeli tiket dan tidak terlalu mudah membuat pembayaran kepada pihak yang tidak dikenali,” katanya.
Semalam, media melaporkan perasaan bimbang akan ketinggalan atau fear of missing out (FOMO) dikenal pasti menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai peminat K-pop menjadi mangsa penipuan pembelian tiket konsert BTS World Tour dengan jumlah kerugian mencecah RM95,974.
Hasil pemantauan polis mendapati sindiket penipuan menggunakan pelbagai platform media sosial untuk menawarkan tiket konsert khususnya bagi kategori VIP, Soundcheck dan Priority Access yang mendapat permintaan tinggi.
Modus operandi yang dikenal pasti termasuk menawarkan tiket sebelum jualan rasmi atau pra-jualan dibuka mendakwa mempunyai akses dalaman atau kuota khas serta menggunakan tangkap layar palsu sebagai bukti tempahan.
Mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran segera melalui pindahan bank, DuitNow atau kod QR kononnya bagi ‘mengunci’ tempahan tiket.
Selepas bayaran dibuat mangsa sama ada tidak menerima tiket yang dijanjikan atau suspek gagal dihubungi. – UTUSAN










