Pegang Mykad individu lain satu kesalahan

Pegang Mykad individu lain satu kesalahan

KEHILANGAN Mykad akibat kecuaian sendiri boleh menyebabkan individu didenda. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan mana-mana individu termasuk pihak pengurusan kediaman atau pengawal keselamatan untuk tidak ‘memegang’ dokumen kad pengenalan (Mykad) milik orang lain kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Malah, perbuatan memegang Mykad milik individu lain juga dikhuatiri terdapat pihak lain mengambil kesempatan menggunakan maklumat-maklumat pada Mykad untuk memalsukan dokumen tersebut selain berkemungkinan digunakan untuk melakukan jenayah lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh memberitahu, Mykad merupakan dokumen keselamatan negara yang tidak boleh dimiliki oleh mana-mana individu lain melainkan mereka seorang warganegara Malaysia.

Beliau berkata, hanya pegawai yang diberi kuasa mengikut Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 sahaja mempunyai kuasa untuk memegang serta memeriksa Mykad.

Justeru, katanya, pengawal keselamatan atau pihak pengurusan kediaman atau bangunan tidak boleh sewenang-wenangnya meminta pelawat menyerahkan Mykad mereka.

“Jika ada pengawal keselamatan kondominium atau mana-mana individu yang tidak berkaitan cuba memegang atau memeriksa Mykad orang lain, boleh lapor pada pihak JPN,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

“Kita mahu tegaskan hanya pegawai atau pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen atau mereka diberi kuasa sahaja boleh memegang Mykad individu lain.

Menurut Ruslin, perbuatan itu juga dikhuatiri boleh berlakunya pemalsuan dokumen terutamanya dengan keadaan negara ini yang mempunyai ramai warga asing berkemungkinan mempunyai keinginan tinggi untuk memiliki kewarganegaraan secara tidak sah.

Jelasnya, dari 491 tangkapan melalui operasi yang dibuat oleh JPN sejak 2020 hingga November lalu, sebanyak 289 merupakan kesalahan yang didakwa melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan Mykad antaranya menggunakan kad pengenalan palsu, menggunakan kad pengenalan orang lain, atau memiliki lebih daripada satu kad pengenalan.

Selain itu, bagi sindiket pemalsuan Mykad, pihaknya mendapati kegiatan tersebut didalangi warga tempatan dan asing itu dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil serta selalu berubah lokasi.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak namun kita memandang serius dan amat komited dalam membanteras kegiatan pemalsuan dokumen peribadi ini sehingga ke akar umbi.

“Malah baru-baru ini kita kesan ada penipuan pihak tertentu menggunakan modus operandi dengan mengiklankan penjualan Mykad, myPR serta dokumen pengenalan lain di WhatsApp dan Facebook sehingga ada individu terpedaya sehingga rugi RM6,000 akibat terpedaya dengan sindiket berkenaan.

“Ingin ditegaskan JPN tidak pernah menawarkan perkhidmatan melalui ejen atau media sosial malah semua urusan perlu hadir di kaunter atau pejabat JPN,” katanya.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN