KUALA TERENGGANU: Pas perlu kembali mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi sebahagian daripada dasar parti itu untuk bersama-sama memacu negara ke arah pembangunan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, penyokong dan pemimpin Pas juga perlu menghentikan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sebagai pembangkang, Pas dan Perikatan Nasional (PN) perlu bertindak secara produktif untuk menjadi pembangkang yang baik.
“Sokong mana yang baik dan bangkang mana yang silap serta nasihatkan mana yang memerlukan penambahbaikan.
“Kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan masih memerlukan kerajaan perpaduan yang baharu dibentuk ini.
“Maka, janganlah bakar ‘jambatan’ itu menerusi kata-kata dan tindakan yang kurang berhemah. Inilah masanya untuk Pas kembali mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Rumah sudah siap. Simpanlah tukul dan pahat. Bersama kita hiasi negara ini dengan citra perpaduan dan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, PN khususnya Pas juga perlu menghentikan tuduhan bahawa kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan minoriti.
“Tidakkah dengan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kerajaan ini mempunyai angka 82, 30 dan 23 kerusi.
“Ini menjadikan keseluruhannya adalah seramai 135 Ahli Parlimen. Apabila dilantik lagi menteri mewakili Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) jumlahnya adalah 141 kerusi. Itu belum dikira lagi Parti Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu) dan Bebas (dua) yang menjadikan semuanya adalah 148 Ahli Parlimen yang telah mencapai dua pertiga majoriti di Parlimen.
“Oleh itu, PN perlu berhenti bernostalgia. Terimalah hakikat mereka hanya mendapat 73 kerusi, terlalu jauh untuk membentuk kerajaan yang memerlukan 112 kerusi,” katanya.
Tambahnya lagi, GPS dan GRS sebelum ini bersama PN kerana menyangkakan BN bersedia untuk menyokong untuk membentuk kerajaan.
“Bagaimanapun, apabila menyedari bahawa ia adalah sokongan sebahagian individu wakil rakyat BN yang ‘dicuri’ dari pintu belakang, maka mereka beralih sokongan kepada PH dan BN.
“Sekiranya PN masih belum berpuas hati lagi, 19 Disember nanti menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen nanti. Sementara itu terimalah keputusan pembentukan kerajaan perpaduan ini.
“Jika masih mahu menubuhkan kerajaan, pujuklah BN menerusi pintu depan diikuti GPS dan GRS namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan tersebut stabil atau mengulangi pergolakan tahun 2020 hingga 2022,” katanya. –UTUSAN