Op Rentas Sempadan: 3,972 notis dikeluarkan JPJ di tiga negeri - Utusan Malaysia

Op Rentas Sempadan: 3,972 notis dikeluarkan JPJ di tiga negeri

HANIF Yusabra Yusuf memeriksa dokumen seorang pemandu bas dalam Operasi Rentas Sempadan yang diadakan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 3,972 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang pelaksanaan Operasi Rentas Sempadan yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,380 notis telah dikeluarkan di Negeri Sembilan dalam operasi sama yang diadakan selama tiga hari sejak 6 Disember lalu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 5,769 jumlah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 2,445 telah diambil tindakan di ketiga-tiga buah negeri ini. Di Negeri Sembilan, sebanyak 3,743 kenderaan diperiksa dengan 820 daripadanya diambil tindakan.

“Di Negeri Sembilan juga, kesalahan lebih muatan mencatatkan antara jumlah tertinggi iaitu sebanyak 202 serta tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 181.  Kesalahan lain adalah seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada LKM.

“Operasi Rentas Sempadan ini merupakan operasi bersepadu JPJ melibatkan gabungan kerjasama tiga negeri tersebut. Peringkat awal ia telah dimulakan di Johor pada 19 hingga 21 Julai lalu dan diikuti di Melaka pada 27 hingga 29 September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar operasi berkenaan yang diadakan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini hari ini.

Hanif Yusabra turut menambah, operasi yang dijalankan itu adalah bertujuan memastikan keselamatan serta  pematuhan pengguna-pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan. 

“Antara tujuan lain operasi ini ialah untuk memfokuskan penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan terutamanya daripada aspek isu kesalahan membawa lebih muatan, memotong sebelah kiri, tujuh kesalahan utama dan pelbagai kesalahan lain,” jelas beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya