Majlis hari lahir mangsa dihempap tiang elektrik bertukar tahlil

Majlis hari lahir mangsa dihempap tiang elektrik bertukar tahlil

ALI Musa menunjukkan timbunan tiang elektrik konkrit yang tidak jauh dari rumahnya di Kampung Belukar, Changlun di Kubang Pasu. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Majlis hari lahir yang dirancang untuk diadakan hari ini bertukar menjadi kenduri tahlil untuk Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10, yang maut setelah dihempap tiang elektrik konkrit di Kampung Belukar, Changlun, di sini, minggu lepas.

Ibu mangsa, Sharifah A. Rahim, 35, memberitahu, dia dan suami, Ruslizan Ali, 41, merancang untuk mengadakan satu majlis kecil untuk ahli keluarga hari ini sebagai menunaikan hasrat anaknya itu.

“Hari ini hari lahir arwah. Arwah ada minta nak buat parti tapi tak adalah nak mendesak kerana dia faham masalah kewangan kami. Tetapi kata dia kalau boleh nak potong kek saja. Kek kecil pun tak apa. Memang kami rancang nak buat makan-makan sikit hari ini.

“Allah sayangkan dia lagi. Kami reda walaupun hati ini masih sayu,” katanya ketika ditemui semasa hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara untuk bertemu warga sekolah anaknya itu di Changlun, di sini.

Dalam kejadian Selasa lalu, Muhammad Aqil Wafiq maut akibat kecederaan parah setelah dihempap tiang elektrik konkrit yang terletak tidak jauh dari rumah keluarganya di Kampung Belukar.

Rakannya, Wan Aliff Danish Wan Mohamad Naim, 11 yang berada di lokasi kejadian mengalami kecederaan parah pada badan sementara seorang lagi mangsa, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, cedera pada bahagian paha dan menerima rawatan di wad biasa Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menurut Sharifah, ketika ini mereka sekeluarga menetap di Jeniang, Sik, buat sementara waktu kerana masih trauma dengan kejadian yang menyayat hati itu.

“Saya dan suami tak boleh duduk di rumah itu lagi. Masih terbayang-bayang wajah arwah di situ. Kawasan letak tiang konkrit itu lagilah. Tak boleh tengok langsung. Jadi sayu.

“Biarlah saya tinggal di rumah ibu saya di Jeniang dulu. Saya pulang untuk uruskan hal sekolah arwah termasuk pulangkan buku teks dan bertemu guru-gurunya,” katanya.

Ketika ditanya tentang tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas pihak terlibat jika didapati berlaku kecuaian, katanya, mereka sekeluarga menyerahkan perkara itu kepada ahli keluarga untuk tindakan lanjut.

Sementara itu datuk kepada Muhammad Aqil Wafiq iaitu Ali Musa, 70, berharap tiang elektrik tersebut yang terletak tidak jauh daripada rumah mereka dipindahkan segera.

“Kalau nampak tiang itu rasa sedih sangat, mereka kata belum boleh alih sebab kes dalam siasatan. Masa kejadian saya yang pergi tengok dulu bila dengar dentuman macam guruh. Tak sangka itu cucu saya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut ibu kepada Wan Aliff Danish, Nor Zuraidah Zainon, 29, keadaan anaknya semakin pulih namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB untuk pemantauan.

“Cuma kami belum memaklumkan kejadian sebenarnya iaitu kematian Aqil kerana takut kesihatannya terganggu walaupun dia sering bertanyakan perkara itu. Kami tunggu keadaannya pulih dulu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya