HULU SELANGOR: Penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki dewasa di lokasi pencarian insiden tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya kelmarin dan pagi semalam menjadi petunjuk terbaharu bagi mengesan tujuh lagi mangsa yang hilang.
Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Kebombaan dan Operasi dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penemuan itu memberi semangat kepada pasukan penyelamat untuk mempertingkatkan operasi mencari mangsa kerana mendapat petunjuk positif.
Kata beliau, bagaimanapun tidak dapat dijangkakan tempoh masa yang diambil untuk mengesan baki mangsa yang masih hilang.
“Sudah pasti pasukan penyelamat begitu bersemangat semalam dan pada hari ini akan meneruskan operasi mengesan baki mangsa yang masih hilang di sekitar kawasan penemuan mayat kanak-kanak dan lelaki dewasa itu,” katanya secara ringkas.
Terdahulu, selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat sembilan mangsa dilakukan, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan pada 11.20 malam semalam dan lelaki dewasa pada 11.16 pagi semalam.
Mayat seorang lelaki dewasa itu ditemukan di sektor B selepas operasi hari keenam diteruskan pada pukul 8 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun dan lelaki dewasa itu menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini kepada 26 orang.
Mayat kanak-kanak dan lelaki dewasa berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Utusan Malaysia melaporkan biarpun usaha mencari dan menyelamat sembilan lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali dekat sini sebelum ini menemukan jalan buntu, pasukan penyelamat tidak patah semangat dan terus mempertingkatkan pencarian.
Bagi SAR hari keempat kelmarin, peranti canggih, Radar Penembusan Tanah (GPR), akan ditambah untuk mengesan baki mangsa masih hilang.
Sebanyak lapan jengkaut jenis ‘long arm excavator’ digunakan bagi mengorek dan mengalihkan timbunan tanah sedalam lima sehingga 20 kaki.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, hujan lebat petang semalam memaksa operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa ditangguhkan seketika demi menjamin keselamatan anggota penyelamat.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi. – UTUSAN










