Lebih 10,000 jadi mangsa penipuan pelaburan babit RM3 bilion

Lebih 10,000 jadi mangsa penipuan pelaburan babit RM3 bilion

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama 180 mangsa penipuan pelaburan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.-UTYUSAN/MASZUREEN HADZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap sindiket penipuan yang kini lebih parah berbanding sindiket dadah.

Penegasan ini dibuat oleh Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas seramai 10,000 individu dikenal pasti menjadi mangsa penipuan satu sindiket pelaburan berasakan insuran perlindungan dengan kerugian lebih RM3 bilion. 

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, rentetan daripada itu, sebanyak 180 mangsa tampil membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul membabitkan penipuan skim pelaburan berkenaan.

Kata beliau, kesemua mangsa dipercayai menyertai pelaburan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu yang mana sindiket berkenaan dijalankan sebuah syarikat dikenali ‘Zutello’.

“Mereka yang menjadi mangsa tersebut diperdaya oleh ejen-ejen pelaburan tersebut dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan. 

“Syarikat berkenaan menggunakan media sosial untuk menawarkan pelbagai pakej pelaburan dengan tawaran pulangan yang tinggi yang ketika itu kebanyakan mangsa terdesak mencari wang tambahan memandangkan mereka tidak bekerja semasa PKP,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Sentul di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Hishamuddin, modus operandi sindiket apabila pelabur diminta membuka akaun pelaburan yang kemudiannya mereka akan diberikan suatu akaun di mana perlu menjalankan transaksi pelaburan di platform tersebut.

Jelas beliau,  para pelabur turut diberikan modal dalam bentuk matawang kripto yang dikenali Stablecoin Tether (USDT) mengikut jumlah pelaburan yang dimasukkan.

“Pelabur kemudiannya perlu membuat bayaran insuran bagi modal yang akan dilaburkan bagi memastikan pelaburan tersebut selamat dan tidak hilang dan sekiranya pelaburan mereka menguntungkan.

“Bukan itu sahaja, sebahagian keuntungan mereka tersebut harus dibayar kepada syarikat tersebut,” jelasnya. 

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chia, 48, berkata, dia menanggung kerugian sebanyak RM500,000 selepas melabur melalui skim berkenaan.

Kata Chia, dia mengetahui mengenai pelaburan tersebut selepas diperkenalkan oleh seorang rakan lamanya.

Jelas ahli perniagaan itu, disebabkan PKP, sindiket berkenaan menjanjikan sebanyak 17 peratus keuntungan menyebabkan dia yakin dan teruja.

“Pada beberapa bulan pertama mereka memang membayar dividen dijanjikan menyebabkan saya percaya bahawa pelaburan ini sah, namun, selepas melabur dengan jumlah lebih besar, mereka tiba-tiba menghilangkan diri.

“Mereka memberi alasan ditahan di Balai Polis Ampang Jaya, jadi, terpaksa menutup semua rangkaian internet dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu dia mula melabur sejak Disember 2021 sehingga Ogos tahun ini.

Seorang lagi mangsa, Tan, 44 yang juga pengusaha kopitiam berkata, sindiket tidak membenarkan dia untuk mengeluarkan wang pelaburannya sebaliknya memaksa untuk terus melabur.

“Sebanyak RM500,000 dilaburkan dengan menggunakan duit simpanan dan duit keluarga. Mereka berkeras untuk saya terus melabur untuk mendapatkan dividen yang dijanjikan.

“Saya juga tak dibenarkan untuk mengeluarkan wang pelaburan, jadi terpaksalah terus melabur namun apabila menambah jumlah pelaburan, mereka terus hilang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya