Kontraktor kelas F terlalu selesa

Kontraktor kelas F terlalu selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontraktor G1 atau dahulunya dikenali kontraktor kelas F dilihat berada terlalu lama dalam kelas tersebut sekali gus menjadi antara punca lambakan kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mencecah sekitar 50,000 di seluruh negara.

Ini kerana semakin besar gred atau kelas seseorang kontraktor itu, maka semakin banyak modal diperlukan untuk menjalankan sebuah projek.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Anggota Lembaga CIDB, Datuk Azman Yusoff berkata, permohonan menjadi kontraktor G1 masih dibuka dengan setakat ini tidak ditutup bagi memberi peluang kepada kepada generasi baharu termasuk belia lepasan pusat latihan kemahiran yang mempunyai latar belakang teknikal untuk mula berkecimpung dalam industri pembinaan.

BERDAYA MAJU

Beliau berkata, langkah itu selari dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berdaya maju dan mampu memainkan peranan utama dalam industri pembinaan.

“Lambakan kontraktor G1 memang ada dan CIDB pun maklum. G1 kawasannya terhad kerana hanya tertakluk di daerah yang didaftar sahaja, jadi tak boleh dapatkan projek di daerah lain, sebab itu dia dikenali sebagai kontraktor daerah.

‘Jadi, mereka kena naik kelas G2 supaya boleh dapatkan projek di peringkat negeri. Sampai tempoh, mereka memang automatik dinaikkan kelas, tetapi dalam masa sama boleh beri alasan jika tak mahu naik.

“Tetapi, mereka itu sudah rasa selesa di G1, (maka) tak mahu naik. Sepatutnya mereka kena naik kelas, baru ada rasa kejayaan dan ada peningkatan. Mereka kena ada visi untuk meningkatkan gred kelas. Kalau tak ada projek, maka itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena.

“Kontraktor G1 bukan hanya mesti dapatkan projek kerajaan saja, tetapi boleh mencari peluang lain seperti di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain yang melibatkan kerja-kerja G1,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan berlaku lambakan kontraktor kelas F atau G1 di Pahang sehingga menjejaskan kontraktor untuk mendapatkan projek.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kerajaan dalam masa sama diminta untuk memperbanyakkan pemberian projek melalui kerja-kerja undi dan sebut harga kepada kontraktor G1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×