Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan berlangsung hujung minggu ini - Utusan Malaysia

Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan berlangsung hujung minggu ini

DR. AHMADRASHIDI Hasan menunjukkan bunting Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan 2022 yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Disember ini di Seremban.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Orang ramai berpeluang menikmati alunan muzik tradisional dalam Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan 2022 selama dua malam yang bermula Sabtu ini.

Gabungan 32 orang pemuzik tradisional dan moden yang menggunakan 16 jenis alat muzik akan mengadakan persembahan selama 90 minit mulai pukul 8 malam di Auditorium Raja Melewar di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri dekat sini.

Pengarah konsert itu, Dr. Ahmadrashidi Hasan berkata, konsert itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu tradisional asli, lagu moden dan tradisional kontemporari.

Beliau yang juga Pengasas Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan berkata, dalam segmen pertama, para pemuzik tradisional asli akan mempersembahkan iaitu Bongai, Cak Lempong dan Tumbuk Kalang dalam bentuk asalnya agar audien dapat mengenali asal usul, tujuan dan permainan muzik itu. 

“Dalam segmen kedua, muzik warisan ini digabungkan dengan alat muzik moden yang sesuai seperti percussion, strings dan keyboard dalam menjelmakan lagu warisan dalam bentuk tradisional moden. 

“Untuk segmen ketiga, lagu-lagu baharu berirama Negeri Sembilan dipersembahkan dalam bentuk tradisional kontemporari sebagai usaha melestari rentak dan melodi yang beridentitikan negeri ini,” katanya di sini baru-baru ini. 

Bagi memeriahkan acara, tambahnya, konsert itu akan diselang seli dengan persembahan tarian warisan negeri ini seperti Tarian Lilin, Terinai dan Randai.

“Orang ramai dijemput menyaksikan dan memeriahkan konsert ini yang ditawarkan secara percuma,” ujarnya. 

Ahmadrashidi menarik perhatian, konsert itu dianjurkan oleh Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Hasanah melalui Program ArtFas dan disokong oleh Yayasan Negeri Sembilan, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan serta JKKN negeri.

“Matlamat utama konsert ini adalah untuk melestari dan memartabatkan seni muzik warisan Negeri Sembilan, menampilkan lagu tradisional itu dalam bentuk kontemporari untuk disesuaikan dengan selera muzik sezaman dan menghargai para pejuang budaya,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya